Wartawan Unit Video NSTP tercalon Anugerah TikTok Malaysia 2023.
Wartawan Unit Video NSTP tercalon Anugerah TikTok Malaysia 2023.

Kuala Lumpur : Wartawan Unit Video NSTP tercalon dalam senarai enam terbaik kategori Rising Star Of The Year, Anugerah TikTok Malaysia 2023 yang bakal berlangsung Ogos ini.

Azrul Affandi Sobry yang juga Penolong Ketua Unit Video NSTP terpilih dalam kategori itu bersaing dengan lima lagi nama besar dalam pembikinan kandungan di TikTok iaitu Gastonpong, ikhmalnOur, Zarul Hafiz, chefdaveveganjourney dan yuki_dance.

Azrul yang memiliki 1.3 juta pengikut di TikTok mula dikenali ramai selepas muncul secara aktif dalam pelbagai program khas di semua platform NSTP (The New Straits Times Press (M) Bhd) iaitu Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST).

Antara yang mengangkat namanya ialah kemunculan secara aktif sebagai hos podcast, vlog dan penyampai untuk siaran langsung di semua platform itu selain pengalaman sebagai wartawan bongkar sejak bersama BH pada 2006.

Anugerah TikTok Malaysia 2023 akan disiarkan secara langsung di TV3 pada 27 Ogos ini akan mengangkat pemenang dalam tujuh kategori pilihan peminat termasuk Popular Animation Account Of The Year, Creator of The Year, TikTok Shop Creator of The Year, Popular Creator of The Year, Live Creator of The Year dan Celebrity Of The Year.

Selain kategori pilihan peminat, beberapa anugerah lain pilihan juri juga akan diumumkan pada malam yang sama membabitkan jenis kandungan mereka seperti hiburan, pendidikan, pelancongan dan banyak lagi.

Malam kemuncak membabitkan kerjasama antara TikTok dan TV3 itu adalah anugerah media sosial terbesar negara ini yang sebelumnya sudah diadakan di beberapa negara termasuk Indonesia dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 5:37 PM