Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Trend selebriti tempatan yang kembali membuka tudung semakin menjadi-jadi apabila sudah enam artis terkenal tanah air mengambil keputusan berkenaan pada tahun ini.

Antaranya mereka yang menarik perhatian adalah Masya Masyitah, Nadia Annuar, Alya Iman, Tash Yong dan Intan Sarafina.

Penampilan 'tudung terbang' turut mengundang pelbagai reaksi negatif daripada peminat dan netizen yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan keputusan diambil.

Entah di mana silapnya, ramai antara mereka memberikan pelbagai alasan tidak munasabah seperti tidak mampu menipu diri sendiri, enggan hipokrit selain sukar untuk kekal istiqamah.

Terbaharu pelakon Mawar Rashid tampil memohon maaf kepada semua pihak yang kecewa dengan keputusan menanggalkan tudung dan meminta orang ramai mendoakan agar dia terus istiqamah dalam memperbaiki diri.

"Saya dah buat dan saya cuba sedaya upaya untuk istiqamah selama ini, tapi saya gagal kali ini.

"Doakan saya untuk istiqamah dalam usaha memperbaiki diri yang penuh dengan kekurangan ini. Terima kasih kepada yang masih sokong saya, bagi kata positif dan doakan yang baik untuk saya.

"Sungguh pun semua ini dah berlaku, saya masih berusaha untuk memperbaiki hubungan saya dengan Allah. Biarlah usaha saya ini antara saya dan Allah saja," katanya dalam satu hantaran di akaun media sosial miliknya.

Bagaimanapun selepas 10 hari membuat pengumuman tidak lagi bertudung, semalam Mawar bertindak memadam semua foto yang memperlihatkan dia tidak menutup aurat di akaun media sosialnya.

Dalam masa sama, Mawar turut memohon maaf kerana memilih untuk menjauhkan diri daripada semua orang dan lebih selesa berkongsi segala perkara dengan pakar terapi yang merawatnya.

"Saya minta maaf saya masih tidak boleh beri apa-apa maklum balas kepada sesiapa. Saya minta maaf kepada keluarga, rakan dan wartawan. Terima kasih keluarga dan rakan sebab selalu ada dengan saya.

"Tetapi saya sendiri memutuskan hubungan saya dengan segala-galanya dan semua orang.

"Saya hanya bercakap dengan pakar terapi saya buat masa sekarang atau mungkin selama-lamanya," katanya.

Dalam pada itu, pelakon baharu Alya Iman yang mengambil keputusan tidak lagi bertudung sejak 1 Syawal lalu memberitahu dia enggan terus menipu diri sendiri dalam media sosial.

"Tak nak hipokrit dan mahu jadi diri sendiri. Sebelum ini, saya memang berperang dengan diri sendiri adakah saya sudah bersedia dengan kecaman netizen jika kongsi penampilan baru dalam media sosial.

"Selepas mendapat persetujuan keluarga dan teman rapat, saya nekad untuk berkongsi perubahan imej dengan khalayak.

"Tak dinafikan ada juga rasa sedih bila netizen memberi komen negatif dan mendoakan yang buruk-buruk kepada saya.

"Namun, saya terima saja apa komen diberikan dengan hati terbuka. Sekurang-kurangnya saya lega kerana tak perlu sorok-sorok lagi," katanya dalam satu temubual bersama media.

Sementara itu, penyanyi muda Masya Masyitah, 23, yang turut mengambil keputusan sama pada Julai lalu berharap tiada pihak menyalahkan kedua ibu bapanya sebaliknya tindakan yang dibuat atas pilihan sendiri.

"Ia adalah pilihan saya sendiri. Kalau nak marah, biarlah pada saya saja.

"Tak perlu nak cakap mak saya pun ikut menyokong dan jangan salahkan ibu bapa saya. Siapa kata ayah saya akan tanggung (dosa)? Sendiri buat, sendirilah tanggung," katanya.

Sebelum ini Masya atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff mengejutkan ramai pihak selepas memuat naik beberapa foto tidak lagi mengenakan hijab di Instagram miliknya pada 30 Julai lalu.

Bagi pelakon Tash Yong, 33, yang hanya mampu bertahan mengenakan hijab selama tiga tahun menjelaskan tindakannya yang kini sudah membuka tudung disebabkan iman yang tidak cukup kuat.

Tash atau nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli berkata, walaupun sekarang dia tidak lagi memakai tudung, tapi itu bukan bermakna dia akan berbuat demikian selamanya.

"Saya minta maaf, saya adalah hamba Allah yang biasa. Iman saya tak cukup kuat.

"Tapi, yang saya buka tudung sekarang tak bererti saya akan buka selamanya. Saya masih lagi cuba merancang semula, cuba jadi elok balik.

"Pada semua yang mendoakan yang baik-baik untuk saya, terima kasih," katanya.

FATIN Afeefa
FATIN Afeefa

Inspirasi golongan hawa tutup aurat

Kuala Lumpur: Biarpun industri seni dikejutkan dengan selebriti yang membuka hijab, namun terdapat juga artis yang melakukan penghijrahan kecil mereka dengan memilih mengenakan tudung seperti DJ Lin, Fatin Afeefa dan Salamiah Hassan.

Melihat situasi artis yang memilih untuk kembali membuka hijab, penyampai radio Suria FM, DJ Lin yang mengambil keputusan bertudung sejak pulang mengerjakan ibadah umrah pada Mac tahun ini enggan menambah api kemarahan netizen sebaliknya menganggap setiap individu tidak terlepas daripada ujian.

"Setiap ujian yang Allah berikan kepada hamba-Nya tidak sama. Kita pun tak tahu apa yang mereka lalui sehingga mengambil keputusan itu.

"Saya nak komen lebih pun tak berani sebab saya baru lapan bulan berhijab. Sebolehnya saya enggan perkara ini terjadi kepada diri saya, termasuk kepada orang lain.

"Sebagai individu yang dikenali ramai kita seharusnya memberikan aura positif dan inspirasi kepada orang lain ke arah kebaikan. Sebagai contoh penghijrahan yang dilakukan akan memberi inspirasi kepada lebih ramai kaum hawa untuk sama-sama menutup aurat dan dekatkan diri kepada Allah SWT.

"Sama-sama kita berdoa agar setiap individu yang berdepan ujian diberikan ketakwaan hati, kekuatan iman dan ketebalan jiwa serta terus istiqamah mengenakan hijab dan kalau boleh apabila sudah ambil keputusan berhijab, jangan tanggalkannya. Kita kena kuat," katanya kepada Harian Metro.

Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 48, sejak mengambil keputusan berhijab hatinya lebih tenang, malah tidak menyangka ramai dalam kalangan peminatnya sudah mula belajar untuk memakai tudung.

DJ Lin
DJ Lin

"Selepas apa yang berlaku dalam kehidupan saya, terutamanya selepas mak saya meninggal dunia pada Jun tahun lalu dan pemergian abang kandung saya ketika berada di Madinah tahun ini benar-benar membuatkan jiwa saya tersentak.

"Selain itu, dorongan peminat yang sentiasa mahu melihat saya berubah ke arah kebaikan juga membuatkan saya bulat hati untuk mengenakan hijab sebaik mengerjakan umrah tahun ini.

"Alhamdulillah sepanjang lapan bulan bertudung saya dapat rasakan ketenangan jiwa dan kedamaian dengan diri sendiri. Saya rasa bersyukur Allah beri satu nikmat penuh berharga ini. Mudah-mudahan perubahan ini membawa ganjaran untuk perjalanan hidup saya daripada pelbagai sudut.

"Apa yang saya perasan selepas berhijab ini adalah penerimaan peminat yang cukup luar biasa. Saya didatangi ramai peminat baru selain dihujani ucapan tahniah. Malah ada peminat yang belum bertudung sudah mula terdetik untuk menutup aurat perlahan-lahan selepas melihat penampilan saya ini, Alhamdulillah," katanya.

Dalam masa sama, tahun ini juga menyaksikan penghijrahan penyanyi veteran Salamiah Hassan yang tampil bertudung.

Ibu kepada penyanyi Atilia itu mengakui, keputusan terbabit turut didorong atas permintaan arwah suami, Allahyarham Gerald Hughes atau Gerry yang meninggal dunia akibat menghidap kanser kolon di Burnie, Tasmania, Australia pada 4 November tahun lalu.

"Masa itu, arwah melihat saya mewarnakan rambut untuk menutup uban di kepala. Ketika itulah, arwah menyarankan saya supaya mengenakan hijab.

"Alasan diberi, ia ibarat serampang dua mata kerana selain tidak perlu kerap mewarna rambut ia dapat menutup aurat.

"Pada mulanya, saya agak skeptikal dan buat endah kata-katanya, namun selepas pemergiannya barulah saya terfikir kebenaran.

"Dengan pesanan ditinggalkan, ditambah perasaan sudah bersedia untuk berhijab, jadi saya lakukannya tanpa perlu ada rasa ragu-ragu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 11:00 AM