Dimash Qudaibergen pada sidang media mengenai konsertnya Dimash Qudaibergen Live In Malaysia. FOTO ROHANIS SHUKRI
Dimash Qudaibergen pada sidang media mengenai konsertnya Dimash Qudaibergen Live In Malaysia. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Penyanyi popular dari Kazakhstan, Dimash Qudaibergen melabelkan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan berganding dengannya dalam Konsert Dimesh Qudaibergen Live In Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, esok sebagai penyanyi hebat dan ikonik.

Dimash ketika ditemui di sidang media konsert berkenaan berkata, Siti juga adalah penyanyi yang sangat mesra dan mudah untuk bekerjasama.

"Pemilihan Siti adalah sangat tepat kerana dia penyanyi yang sangat luar biasa di Malaysia. Malah, dia juga mempunyai pengaruh yang besar.

"Bukan saja memiliki suara lunak, Siti juga seorang yang sangat mesra walaupun kami baru saja mengenali antara satu sama lain.

"Saya begitu teruja menantikan hari persembahan bersamanya esok yang turut akan dihadiri ribuan penonton Malaysia," katanya.

Dalam masa sama, Dimash mengakui ada kesukaran untuk melakukan persediaan dan persiapan kerana jarak antara mereka yang sangat jauh.

"Sebelum ini kami hanya berbincang mengenai perjalanan konsert ini secara dalam talian atau panggilan telefon saja," katanya.

Dimash memulakan karier nyanyian pada 2010 itu popular dengan lagu seperti S.O.S D'un Terrien En Détresse, Olympico, Unforgettable Day, Sinful Passion dan banyak lagi.

Terdahulu, Dimash mengadakan konsert solonya pada 6 Mei lalu di Turkiye sebagai sebahagian daripada siri konsert jelajah dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 11:15 AM