Syafil Syazwan Jefri


BAGI mereka yang mengikuti aliran muzik dari luar negara, nama penyanyi Kazakhstan, Dimash Qudaibergen tentunya tidak lagi asing.

Kemampuan vokalnya melantunkan nota-nota bernada tinggi dalam lagu sentiasa mencuri perhatian di samping pelbagai kemampuannya dalam muzik.

Tidak sekadar menyanyi, pemuda berusia 29 tahun ini juga berbakat besar sebagai komposer dan mampu memainkan pelbagai alat muzik di samping pernah menyanyikan lagu dalam 13 bahasa.

Dimash yang hadir ke Malaysia menjayakan Konsert Dimash Qudaibergen Live In Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam kelmarin turut disambut dengan penganugerahan Pingat Canselor City University Malaysia untuk Pencapaian Luar Biasa dalam Persembahan Seni dari City University Malaysia.

Dimash ketika ditemubual berkata, ilmu dan pendidikan adalah keutamaan buatnya dan itu juga mendorongnya untuk terus melangkah ke hadapan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada City University Malaysia kerana menjemput saya dan merealisasikan impian ini.

"Pendidikan adalah satu perkara yang sangat penting. Saya berharap universiti ini dapat berkembang maju kerana anda ada pensyarah-pensyarah yang bagus," katanya.

Pingat itu adalah antara anugerah tertinggi yang diberikan oleh City University Malaysia kepada mereka yang layak dan pernah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat.

Berkongsi perasaannya dapat hadir ke Kuala Lumpur mengadakan konsert, Dimash nampaknya begitu teruja.

"Saya teruja kerana ini adalah kali pertama saya beraksi di Malaysia. Saya kagum dengan sambutan peminat di sini," katanya.

Menurutnya, keluarga dan peminat adalah penggerak dan sentiasa menjadi pembakar semangatnya.

"Selepas beberapa tahun, peminat-peminat terus menyokong saya sehinggalah saya berada di kedudukan sekarang. Saya dapat peluang dan ruang ini kerana sokongan anda dan juga keluarga saya.

"Terima kasih kepada keluarga terutamanya, bapa saya. Dia adalah antara orang yang menyokong cita-cita saya sejak saya kecil lagi. Saya berada di tahap sekarang dan berjaya menempa nama kerana sokongan ayah dan ibu saya," katanya.

Tidak hanya itu, pemergian datuknya baru-baru ini juga turut meninggalkan kesan mendalam buatnya.

"Beberapa minggu lalu, saya kehilangan datuk saya. Pemergiannya meninggalkan kesan kepada saya, namun, saya sentiasa ingat akan kata-katanya.

"Ketika saya kecil, dia kerap kali mengungkapkan bahawa, kita boleh hidup semahu apa pun yang kita mahu, namun, yang paling utama adalah kehidupan di alam selepas ini. Ia adalah kata-kata yang saya sentiasa ingat dan pegang setiap hari," katanya.

Menempa nama dan memungut jutaan peminat dari seluruh dunia tidak pernah membuatkan Dimash lupa diri, tetapi, dia semakin memahami erti kesyukuran atas anugerah Tuhan buatnya.

"Apabila semakin meningkat dewasa, saya melalui proses uji bakat, mula menempa nama dan semua itu adalah hasil kerja keras saya selama ini. Saya tahu, di luar sana, ada ramai lagi orang yang bekerja lebih keras berbanding saya.

"Lebih ramai juga orang berbakat besar berbanding saya. Namun, mereka tidak berpeluang untuk kembangkan bakat mereka dan berada di posisi seperti mana saya ada sekarang.

"Dalam kata lain, kelebihan dan anugerah yang diberikan kepada saya ini mendidik saya untuk sentiasa bersyukur kepada-Nya dan sentiasa beringat untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 6:00 AM