SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA
Syafil Syazwan Jefri


DATUK Seri Siti Nurhaliza menyeru peminat-peminatnya supaya tidak terpedaya dengan berita dan poster palsu mengenai pembabitannya dalam satu acara konsert.

Siti menerusi Instagram meminta pihak bertanggungjawab tidak sewenang-wenangnya menggunakan gambar serta namanya untuk kepentingan sendiri.

“Palsu! Saya tidak terbabit dengan acara ini dan saya juga tidak berada di tempat yang dinyatakan pada tarikh itu. Kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai hal ini, saya minta supaya nama dan gambar saya tidak digunakan kerana saya tak terbabit,” tulisnya.

Menurutnya, dia tidak pernah menerima undangan untuk acara yang kononnya akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah itu pada 18 dan 19 April nanti.

“Saya sangat berharap perkara palsu seperti ini tidak dibuat main-main oleh pihak terbabit. Artis-artis lain yang ada gambar dan nama mereka, saya tak pasti terbabit atau tidak tetapi saya memang tidak pernah membuat atau menerima undangan ini. Tolong jangan memperdayakan orang ramai,” katanya.

Siti juga menyertakan gambar poster konsert itu yang tertera dengan perkataan ‘palsu’ untuk memberi amaran.

Selain Siti, nama dan gambar artis lain yang tertera ialah Amy Search, Aweera, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 8:14 PM