Pelakon Zahirah Macwilson dan Siti Hariesa memeriahkan program KJH.
Pelakon Zahirah Macwilson dan Siti Hariesa memeriahkan program KJH.
Ramlah Zainal


Shah Alam: Kemunculan pelakon popular Zahirah Macwilson dan pelakon baru, Siti Hariesa mencuri tumpuan ratusan pengunjung pada sesi Meet & Greet di reruai, Studio Tonton : Drama Sangat sempena Karnival Jom Heboh (KJH), Selangor Generasi Muda di Dataran Stadium Shah Alam, di sini, pagi ini.

Zahirah hadir pada sesi bertemu peminat itu untuk mempromosikan siri Tonton Original: Metro Crime Series lakonannya dan Siti Hariesa pula untuk Tonton Original: Perempuan itu.

Ketika ditemui, Zahirah berkata, dia sangat gembira dan teruja dapat turun padang bertemu peminatnya pada sesi berkenaan.

"Walaupun agenda seni padat, saya tetap tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir pada sesi beramah mesra dengan peminat ini sekali gus mempromosikan siri Tonton Original: Metro Crime Series.

"Saya harap peminat tidak akan melepaskan peluang untuk menonton lakonan terbaru ini boleh strim di Tonton mulai 29 Jun ini kerana ia ada kelainan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai lakonannya dalam siri Tonton Original: Metro Crime Series itu, kata Zahirah, dia melakonkan watak utama sebagai wartawan jenayah dalam siri itu.

"Saya bergandingan dengan pelakon Aloy Paradoks dalam siri arahan Faizul A Rashid dan Megat Sharizal itu.

"Terus terang bukan mudah untuk melakonkan watak wartawan jenayah tetapi saya sudah berusaha melakonkan mengikut kemampuan," katanya.

Zahirah beramah mesra dengan salah seorang peminat kanak-kanak. FOTO Ihsan TV3
Zahirah beramah mesra dengan salah seorang peminat kanak-kanak. FOTO Ihsan TV3

Manakala, Siti Hariesa pula hadir pada sesi bertemu peminat untuk mempromosikan siri Tonton Original: Perempuan Itu yang sudah mula strim di Tonton mulai 1 Jun lalu.

Menurut Siti Hariesa, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menjayakan sesi bertemu peminat itu walaupun sibuk dengan penggambaran drama ketika ini.

"Sebagai artis baru, saya juga mahu turun padang untuk memperkenalkan diri dan mendekatkan diri dengan peminat.

"Maklumlah, saya sibuk berlakon dan masa banyak dihabiskan di lokasi penggambaran drama sebelum ini," katanya.

Mengulas mengenai siri Tonton Original: Perempuan Itu pula, kata Siti Hariesa, banyak mesej yang mahu disampaikan pada penonton menerusi siri arahan Isma Yusoof dan Ain Sharif itu.

"Saya bawa watak pembantu dalam siri itu. Pada masa sama, saya sangat mengagumi lakonan Mimi Lana yang juga teraju utama siri berkenaan bergandingan dengan pelakon popular Zul Ariffin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 3:50 PM