DICUNGKIL bakat menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2019. FOTO Nabila Adlina Azahari
DICUNGKIL bakat menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2019. FOTO Nabila Adlina Azahari
Zaara Talita


BUKAN semua mampu bertahan dengan kecaman yang dilemparkan oleh netizen apatah lagi di arus teknologi ini yang boleh memberikan impak terhadap kesihatan mental seseorang individu.

Sekian lama mengunci mulut selepas dihimpit kontroversi babak panas dalam drama Perempuan Itu, pelakon baharu, Siti Hariesa mengakui tindakannya untuk meredakan situasi panas agar tidak berlanjutan.

Tidak menyesal dengan apa yang berlaku, namun gadis berusia 24 tahun ini berkata, kontroversi itu mengajarnya lebih berhati-hati dalam memilih watak pada masa akan datang.

"Tindakan berdiam diri kerana saya tak mahu mengapi-apikan dan terus sensasi isu ini. Lebih baik saya membisu daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Apatah lagi saya masih 'hijau' dalam bidang seni dan baru saja hendak memulakan kerjaya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan kontroversi atau cerita panas begini.

"Saya juga mengambil pendekatan untuk tidak mengambil endah komen yang dilemparkan di media sosial, malah saya turut meminta nasihat daripada rakan-rakan selebriti yang lebih lama berkecimpung dalam bidang seni," katanya.

Hariesa atau nama lengkapnya Siti Hariesa Muhammad itu bagaimana berharap, kontroversi membabitkan babak 'daring' dalam drama Perempuan Itu, menjadi yang titik hitam pertama dan terakhir dalam kariernya sebagai pelakon.

Pelakon berusia 24 tahun itu seboleh-bolehnya enggan mengulangi kesilapan serupa apabila babak intim bersama pelakon Zul Ariffin dalam drama itu, yang hampir meletakkan noktah kepada kerjaya seninya yang baru hendak bercambah.

BERHARAP bakat lakonan lebih mendapat perhatian.  FOTO Nabila Adlina Azahari
BERHARAP bakat lakonan lebih mendapat perhatian. FOTO Nabila Adlina Azahari

Disebabkan keberaniannya itu, Hariesa turut mendedahkan menerima kecaman netizen dihantar menerusi mesej peribadi.

Ketika diajukan keterbukaan untuk bekerjasama lagi dengan Zul selepas ini, Hariesa yang ditemui pada pelancaran program Unifi TV Original itu tidak mempunyai jawapan untuk soalan berkenaan dan menyerahkan masa untuk menentukannya.

"Berlakon lagi dengan Zul Ariffin? Tak tahulah. Kita tengok masa akan datang bagaimana. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab untuk soalan ini," katanya ringkas.

Hangat menjadi bualan mengenai cinta lokasi di set penggambaran, Hariesa tidak menolak untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon lelaki berstatus suami orang.

Namun bagi Hariesa, dia akan mengambil pendekatan berhati-hati supaya tidak terpalit lagi dengan kontroversi sebagai 'penyondol'.

HARIESA berjanji lebih berhati-hati dalam memilih watak. FOTO Nabila Adlina Azahari
HARIESA berjanji lebih berhati-hati dalam memilih watak. FOTO Nabila Adlina Azahari

"Kalau kena berpasangan dengan pelakon lelaki berstatus suami orang, saya akan berhati-hati. Berlakon adalah kerjaya saya jadi saya tidak mahu mensia-siakan peluang ini.

"Tapi untuk terjebak dengan cinta lokasi, mungkin tidak. Saya cuma buat kerja saya sebagai pelakon. Lebih baik saya cari di luar (pasangan)," katanya.

Sekitar Mac tahun lalu, Hariesa pernah terpalit dengan kontroversi gara-gara sebuah teaser memaparkan babak intim bersama aktor Zul Ariffin untuk drama Perempuan Itu yang tular di media sosial.

Selepas setahun drama tersebut 'digam', naskhah yang turut menampilkan pelakon Mimi Lana itu akhirnya ditayangkan di TV3 pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 7:00 AM