‘Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu’ membawa jalan cerita yang penuh mendebarkan.
‘Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu’ membawa jalan cerita yang penuh mendebarkan.
Muhamad Shaifullah Tayep

PERKHIDMATAN penstriman Media Prima, Tonton melalui Tonton Original memaparkan siri terbaharu berjudul Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu yang membawa jalan cerita inspirasi daripada kes jenayah berprofil tinggi yang pernah terjadi di negara ini.

Drama arahan Megat Sharizal dan Faizul A Rashid ini menampilkan pelakon hebat seperti Zahirah Macwilson, Aloy Paradoks dan Mustaqim Bahadon yang pastinya wajib ditonton khususnya bagi penggemar drama jenayah.

Zahirah Macwilson memainkan watak Fatema, seorang wartawan Harian Metro yang berjiwa kental manakala, Aloy Paradoks pula membawa watak Rozimi, rakan sejawat Fatema.

Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu berkisar tentang kes kematian Syerinie lakonan Eamie Elyna yang menggemparkan negara.

Tertarik dengan kes berkenaan, Fatema berhasrat untuk membuat liputan bagi jenayah yang menggegarkan negara ini.

Namun, permintaannya tidak diluluskan oleh editornya. Sebaliknya, liputan ini ditugaskan kepada rakan sejawatnya, Rozimi.

Syerinie dibunuh dengan kejam dan pembunuhnya masih bebas, justeru Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu merungkai kes ini lalu membawa kepada lebih banyak persoalan.

Temubual bersama saksi kejadian membawa kepada penemuan butiran yang dikaburkan oleh polis. Menurut saksi, dia ada terlihat seorang lelaki yang mungkin adalah pembunuh Syerinie.

Hanya Fatema dan Rozimi yang melaporkan tentang kelibat lelaki misteri ini yang memberi kelebihan kepada Harian Metro.

Pada keesokan harinya, suspek utama telah ditahan. Namun, jejaka tersebut bukanlah lelaki yang dilihat oleh saksi kejadian.

Maka, soalan yang perlu diselesaikan menerusi 10 episod siri ini adalah: 'Siapa Lelaki Itu?'

Image

Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu membawa jalan cerita yang penuh mendebarkan, selain memperlihat realiti wartawan akhbar masa kini.

Sepanjang siri ini, penonton pasti akan teruja dengan perkembangan dan kupasan kes pembunuhan yang diketengahkan.

Kisah yang dipaparkan dalam siri ini adalah berasaskan kes-kes jenayah berprofil tinggi yang benar-benar berlaku di Malaysia.

Saksikan Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu eksklusif di aplikasi Tonton yang memaparkan dua episod baharu setiap hari Khamis.

Pastikan anda menonton sehingga episod akhir bagi membantu Fatema dan Rozimi menyelesaikan misteri dan mencari pembunuh sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 11:54 AM