ERMA Fatima. FOTO Arkib NSTP
ERMA Fatima. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya sangat percaya drama Perempuan Itu akan tetap ditayangkan sebab ada yang lebih besar dalam drama itu yang perlu ditunjukkan berbanding babak kontroversi," kata penerbit drama kontroversi, Perempuan Itu, Erma Fatima.

Erma ketika dihubungi berkata, apa yang penting dalam drama berkenaan ialah ia mengangkat kisah wanita dalam pelbagai aspek dan tanggungjawab digalas.

"Perempuan Itu adalah kisah wanita. Bagaimana adabnya menjadi seorang isteri, apakah tindakan seharusnya diambil oleh seorang isteri apabila dia merasa diri teraniaya dan bagaimana hak wanita dalam Islam.

"Jadi, benda-benda itu adalah perkara yang cuba saya nak sampaikan dalam drama saya (Perempuan Itu). Bukan soal kontroversi itu. Bagi saya, kontroversi berkenaan adalah benda yang kebetulan berlaku yang mana kita juga tak nak menyalahkan sesiapa," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Erma, kenapa dia begitu yakin drama Perempuan Itu akan tetap ditayangkan kerana pihak stesen TV boleh saja menolaknya jika produk berkenaan memang tidak bagus dan berbaur kontroversi.

"Saya percaya pihak TV3 tahu apa yang tersirat di sebalik kisah itu dan apa yang cuba kita sampaikan. Malah, saya tidak rasa akan ada babak yang kurang menyenangkan penonton.

"Apa yang berlaku sebelum ini (kontroversi) hanya satu babak itu saja. Jadi, takkanlah kerana nila setitik susu sebelanga kita rasa dah rosak. Tapi yang saya yakin adalah orang pasti akan dapat melihat apa sebenarnya yang kita cuba perjuangkan dalam drama ini dan ia tidak ada adegan-adegan yang kurang baik," katanya menegaskan karya Perempuan Itu khusus untuk wanita.

BABAK lakonan Zul Ariffin dan Mimi Lana dalam drama Perempuan Itu. FOTO Instagram missmimilana
BABAK lakonan Zul Ariffin dan Mimi Lana dalam drama Perempuan Itu. FOTO Instagram missmimilana

Terdahulu, pelakon Mimi Lana yang melakonkan watak Khalish berkongsi kelegaan dan keterujaannya apabila drama Perempuan Itu akan menemui penonton mulai 1 Jun ini di aplikasi tonton.my.

Mimi menerusi hantaran di Instagram berkata, kontroversi yang berlaku terhadap drama itu memberi peluang kepada dia mempelajari banyak perkara untuk dijadikan iktibar dan sempadan dalam kehidupan.

Pada tahun lalu, tercetus kontroversi membabitkan pelakon Zul Ariffin yang memuat teaser klip 'babak panas' lakonannya bersama bakat baru, Siti Hariesa di dalam drama itu di Instagram pada 18 Mac.

Ia mencetuskan kemarahan ramai membabitkan babak aksi Zul mendukung Siti Hariesa dan adegan wanita itu menyuap 'whipping cream' ke mulut Zul dengan aksi mengghairahkan.

Justeru, Zul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang mengaku bersalah dalam perbicaraan pada 4 Oktober tahun lalu dan diperintahkan membayar denda RM30,000.

Drama Perempuan itu yang mempunyai 30 episod, diarahkan oleh Ain Sharif. Selain Mimi Lana, Zul dan Siti Hariesa, ia turut dibintangi Eman Manan, Amar Asyraf, Amir Ahnaf, Erysha Emirates dan Iqbal Zulkefli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 5:21 PM