Syed Hussian Aljunid bersama Rafiq bergambar bersama pengunjung selepas memotong kek dan pulut kuning bersempena 39 Tahun TV3. FOTO Asyraf Hamzah
Syed Hussian Aljunid bersama Rafiq bergambar bersama pengunjung selepas memotong kek dan pulut kuning bersempena 39 Tahun TV3. FOTO Asyraf Hamzah
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Petaling Jaya: Lebih 360,000 pengunjung membanjiri Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda sepanjang tiga hari bermula Jumaat lalu yang berlangsung di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.

Lebih istimewa KJH kali ini turut diadakan sempena ulang tahun TV3 yang ke-39 dan kali pertama acara padang ini berlangsung selama tiga hari berturut-turut.

Karnival diterajui oleh Kerajaan Selangor menerusi Exco Generasi Muda, Sukan & Modal Insan Negeri Selangor.

Menampilkan pelbagai kelainan menarik di setiap reruai KJH dan berjaya menarik perhatian pengunjung untuk hadir seawal jam 8 pagi.

Antaranya adalah pameran kereta Fast X, pameran Anime, pertandingan Cosplay serta jualan eksklusif cenderahati ulang tahun TV3 ke-39 dengan kolaborasi bersama Alha Alfa (gincu) dan Ameera Zaini (tudung) di Kedai Jom Heboh.

Kemeriahan diteruskan lagi di booth Tonton Drama Sangat dengan kemunculan selebriti popular yang membintangi drama-drama di TV3 dan Tonton.

Pengunjung turut berpeluang beramah mesra dan bergambar dengan artis kesayangan mereka antaranya Izzue Islam, Ropie dan Siti Sisters (I Can See Your Voice Malaysia 6), Zahirah MacWilson (Tonton Original: Metro Crime Series), Afifah Nasir, Aya Amiruddin dan Mark Adam (Tonton Original: Pontianak 100KG), Ismail Izzani, Muaz Zabir dan Liza Abdullah (Akasia: Bukan Hanya Sekadar Cinta), Puteri Balqis (Lestary: Diva Seroja), Nelissa Nizam dan Aiman Wynne (Sakura: Kampung Mat Saleh) serta Adam Lee dan Sweet Qismina (Samarinda: Malam Zulaikha).

Pertandingan Cosplay pada Sabtu turut mendapat sambutan luar biasa dengan hampir 50 penyertaan diterima bagi kategori kanak-kanak dan dewasa.

Kesungguhan dan kreativiti mereka dalam memperagakan kostum karakter animasi kesukaan mereka mendapat pujian juri.

Menerusi KJH ini, pengunjung yang lahir pada bulan Jun turut berpeluang untuk turut serta memotong kek dan pulut kuning di atas pentas bersama-sama dengan barisan selebriti dan pihak pengurusan Media Prima Berhad (MPB) iaitu Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad), Rafiq Razali (Pengarah Urusan Kumpulan) dan Mohd Efendi Omar (Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia). Turut hadir, Nini Yusof (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press), Nazri Noran (Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio) dan Datin Norashikin Habibur Rahman (Ketua Pegawai Eksekutif WOWShop).

Pengunjung yang hadir ke Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda. FOTO Asyraf Hamzah
Pengunjung yang hadir ke Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda. FOTO Asyraf Hamzah

Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad lalu menjadi acara kemuncak KJH.

Meskipun persembahan bermula jam 9 malam, pengunjung sanggup menapak sejak petang demi menyaksikan persembahan daripada penyanyi hebat tanah air.

Pada malam terakhir konsert, pentas utama dibanjiri lebih 20,000 pengunjung untuk menyaksikan persembahan Haqiem Rusli, O.V.A, Afieq Shazwan, Hariz Fayahet, Black, Hazama dan Shiha Zikir.

Turut hadir menyaksikan persembahan itu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 7:51 PM