FahmiFadzil bertemu wartawan pada sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem di REXKL. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
FahmiFadzil bertemu wartawan pada sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem di REXKL. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya minta, kalau boleh semua pihak duduk di meja perundingan dan kita cuba selesaikan dengan baik," kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil mengenai isu bayaran tertunggak membabitkan Awesome TV dengan beberapa pihak.

Fahmi ketika ditemui di Sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem berkata, penyelesaian secara damai akan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Saya harap dan gesa agar pihak Awesome TV segera selesaikan isu ini. Saya difahamkan ada sesetengah pihak yang memfailkan saman sivil dan sebagainya.

"Kalau isu ini boleh diselesaikan dengan baik, maka semua pihak akan mendapat manfaatnya. Pihak yang hasilkan karya boleh mendapat bayaran, manakala pihak Awesome TV boleh terus menyiarkan," katanya.

Fahmi juga memaklumkan dia sudah mengadakan pertemuan dengan pihak Awesome TV pada 15 Mei lalu.

"Dalam pertemuan itu, saya sudah meminta pengarah dan ketua pegawai eksekutifnya untuk segera menjelaskan isu-isu membabitkan tunggakan sekiranya ada dan perkara ini saya lihat agak penting," katanya.

Fahmi juga menegaskan bahawa situasi yang berlaku akan memberi kesan kepada pihak yang terbabit dan memberi contoh mengenai aduan yang dibuat oleh agensi My Creative Ventures (MCV).

"Sebagai contoh, salah satu agensi di bawah KKD, MCV mengadu kepada saya. Menurut mereka, terdapat sejumlah penerbit yang sudah menerima dana daripada MCV untuk tujuan menghasilkan kandungan. Saya difahamkan oleh mereka, kandungan itu sepatutnya dibayar oleh Awesome TV.

"Namun, atas sebab-sebab tertentu yang mana perinciannya belum lagi diberikan kepada saya, ada sejumlah syarikat yang mana belum lagi dibayar oleh Awesome TV.

"Ini akan ada kesan kepada simpanan yang diterima oleh syarikat-syarikat itu daripada MCV. Jadi, saya sudah minta maklumat lebih terperinci," katanya.

Ditanya mengenai Awesome TV beroperasi dengan tidak mengikut syarat, Fahmi berkata, dia difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah membuat kompaun kepada Awesome TV. "Mereka juga maklumkan kepada saya bahawa Awesome TV beroperasi dengan pelanggaran syarat-syarat pelesenan," katanya.

Sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dan Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman.

Sesi yang dihadiri lebih 400 penggiat seni perfileman tanah air diterajui oleh moderator yang juga pengacara, Nazrudin Habibur Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 8:03 AM