FAHMI  (dua, kiri) menjawab pertanyaan penyampai radio SABAHfm Hanifa Hanif (kanan) sewaktu wawancara bersama SABAHfm selepas sesi Town Hall bersama kakitangan dari agensi KKD di Kompleks Bersepadu KKD hari ini. FOTO Bernama
FAHMI (dua, kiri) menjawab pertanyaan penyampai radio SABAHfm Hanifa Hanif (kanan) sewaktu wawancara bersama SABAHfm selepas sesi Town Hall bersama kakitangan dari agensi KKD di Kompleks Bersepadu KKD hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Kinabalu: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutip sumbangan khususnya untuk rakyat Palestin.

Beliau berkata rakyat Malaysia amat terkesan dengan situasi di Palestin ketika ini, namun mereka perlu berhati-hati dalam menyalurkan sumbangan agar tidak tertipu.

"Hati-hati dengan scammer (penipu) yang cuba mengambil kesempatan, kadang-kadang mereka letak gambar Masjid Al-Aqsa, kanak-kanak Palestin tetapi scammer.

"Saya pohon, kita rakyat Malaysia memang murah hati, mudah bantu orang tapi janganlah sampai tertipu. Duit itu tidak sampai kepada rakyat Palestin.

"Gunakan saluran rasmi dan rujuk kepada pihak berkuasa untuk mengesahkan sama ada tabung itu betul atau tidak," katanya pada sesi temu bual bersama radio SABAHfm di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Digital Sabah, di sini hari ini.

Pertempuran terkini di Palestin yang membabitkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lalu mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Khamis lepas, sebagai tanda solidariti bersama rakyat negara itu yang dizalimi.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa isu perlu diselaraskan mengenai penggunaan rangkaian 5G di negara ini yang masih pada tahap rendah, antaranya caj tinggi oleh beberapa syarikat telekomunikasi dilihat membantutkan usaha menarik lebih ramai rakyat menggunakan 5G.

Perkhidmatan 5G yang pantas katanya akan memberi manfaat terutama kepada pihak industri seperti perkilangan, pelabuhan dan pusat pemprosesan serta mengurangkan pembaziran dalam industri.

Fahmi berkata isu di Sabah bagaimanapun bukan melibatkan peralihan rangkaian 4G kepada 5G, sebaliknya mengatasi masalah capaian Internet di negeri itu.

"Kalau boleh saya mahu selesaikan masalah Internet di Sabah dahulu. Itu yang menjadi keutamaan saya kerana ramai yang menyampaikan pandangan termasuk ahli-ahli Parlimen tentang isu yang berlarutan, termasuk dalam warga KKD," katanya dan menambah beliau akan membincangkan perkara itu dalam kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 5:31 PM