Annyeonghaseyo!

Tiada siapa boleh nafikan mana-mana artis perlukan tuah dan waktu yang tepat untuk berjaya dalam industri hiburan.

Demikian juga industri K-Pop yang saban tahun dibanjiri artis baharu.

Industri hiburan Korea Selatan khususnya menjadi satu daripada industri paling sengit saingannya. Malah, ada yang terpaksa reda gagal menempa nama walaupun tidak putus asa mencuba nasib bertahun-tahun lamanya.

Namun, tidak buat penyanyi, Minji yang kini jadi kegilaan dunia sejak menyertai NewJeans. Perjalanannya mencipta nama dalam tempoh singkat seakan sudah ditakdirkan sebagai tuah yang memang tersurat indah.

Menerusi pendedahan komuniti dalam talian, Nate Pann, penyanyi itu sebenarnya cuma menyertai sebuah akademi muzik. Itupun selepas namanya diusulkan kepada akademi terbabit dan masih perlu menjalani uji bakat.

Ternyata Minji berjaya melepasi halangan itu dan menyertai agensi Source Music. Kemudian dia beralih pengurusan bawah HYBE pula disebabkan Source Music di mana dia bertemu dengan Min Hee Jin.

Hee Jin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ADOR adalah individu penting di atas kejayaan Minji. Dia yang memilih penyanyi itu sebagai anggota NewJeans selepas yakin dengan bakatnya.

Prosesnya ke tahap sekarang itu sangat mengagumkan ramai kerana tuah demi tuah diperolehnya seakan-akan memang rezekinya sudah tersurat indah.

Pada masa sama, mereka percaya kerja keras dicurahkan penyanyi itu antara faktor penting kejayaannya.

"Semestinya Minji sudah berikan usaha padunya terhadap kemahiran menyanyi sehingga dapat perhatian Hee Jin. Dengan waktu tepat dan tuah, takdir buatnya bagai tersurat sempurna,' kata seorang warganet.

Ada pihak turut mendakwa penyanyi itu sepatutnya dipanggil untuk menjalani uji bakat oleh agensi SM Entertainment.

Bagaimanapun, dia tidak hadir dan jika benar dakwaan itu, dia memang ditakdirkan untuk berjaya di ADOR.

"Dia mungkin tidak pernah bercita-cita untuk menjadi idola sewaktu menyertai akademi muzik itu. Tapi, lihatlah sekarang dia pun sudah menjadi duta Chanel. Memang rezekinya sudah ditakdirkan," kata warganet lain.

Ketika ini, NewJeans menjadi kumpulan wanita paling berjaya dan mencipta fenomena dalam tempoh sangat singkat. Kumpulan itu baru diperkenalkan tahun lalu namun sudah meraih jutaan peminat seluruh dunia.

Lagu mereka berjudul OMG juga terus menjadi siulan sehingga kini selain rancak digunakan sebagai lagu hantaran mahupun video di pelbagai laman sosial termasuk TikTok.

Selain Minji, NewJeans turut dianggotai Hanni, Danielle, Haerin dan Hyein.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 6:30 AM