PENYANYI Yung Raja. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI Yung Raja. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Georgie Joseph


KEMUNCULAN penyanyi rap muda merancakkan lagi industri muzik tempatan berikutan pengikut yang kian ramai. Tidak terkecuali, artis baru dari Singapura, Yung Raja antara yang menjadi perhatian.

Yung, 24, bertuah apabila bukan saja diterima baik di Kota Singa, tetapi juga di Malaysia. Teguh menyelitkan elemen kontemporari dalam setiap lagunya, pemuda itu tampak unik.

Berketurunan Tamil dari India, dia bagaimanapun tidak mahu menyisihkan irama Tamil sebagai identiti muziknya. Bahkan, dia menyimpan misi besar untuk memartabatkan irama itu ke tahap lebih jauh.

“Pegangan tradisional keseluruhan keluarga saya memang sangat kuat. Ibu bapa saya pun berasal dari India dan berhijrah ke Singapura.

“AR Rahman antara pengaruh terbesar dan saya membesar dengan muzik tradisional. Saya mahu menyambung legasi muzik Tamil baik melodi mahupun lirik dan menggabungkannya menerusi lagu hip hop berbahasa Inggeris.

“Saya mahu bikin lebih banyak muzik dan bekerjasama dengan artis dari Malaysia dan India. Saya mahu lebih banyak berkunjung ke India selepas ini untuk mencipta nama di sana,” katanya.

Tampil dengan single kedua berjudul Mad Blessings sebagai pertaruhan terkini, Yung meletak harapan tinggi. Baginya, lagu itu cukup bermakna dalam kembara seni yang diperjuangkan.

Menerusi lagu itu, dia mahu pendengar seluruh dunia menikmati elemen muzik Tamil kerana ia sangat indah.

“Mad Blessings adalah single kedua saya yang dilancarkan selepas satu setengah tahun single pertama, Mustafa diperkenalkan. Lagu ini yang bercerita mengenai segala rezeki yang saya raih sebaik karier bermula selepas menyertai program Joe Flizzow iaitu 16 Baris.

“Dihasilkan dalam sehari saja tahun lalu, saya mahu lagu ini pergi jauh bukan saja di Asia Tenggara bahkan di seluruh dunia. Lagu ini unik kerana ada elemen muzik tradisional Tamil. Namun apabila diolah dalam lagu Inggeris, semua orang boleh menikmatinya.

Mengulas mengenai rezekinya, Yung menyifatkan penerimaan luar biasa peminat luar Singapura sebagai kejayaan besar buat dirinya. Ia secara tidak langsung membuatkan semangatnya semakin membara untuk berkarya lebih jauh.

“Pencapaian terbesar saya adalah mendapat sambutan dan sokongan tidak terhingga daripada peminat di Malaysia. Saya datang dua kali sebulan ke Malaysia bagi memenuhi jemputan persembahan.

“Bahkan, ramai peminat di sini tidak tahu saya sebenarnya orang Singapura dan menyangka penyanyi tempatan. Sampai ke tahap itu sekali sokongan mereka sehinggakan saya rasa sangat terharu dan bersyukur,” katanya.

Bernaung di bawah label berpengaruh Major Famous dan Def Jam SEA, Yung juga tidak tergugat dengan lambakan penyanyi rap muda yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Baginya, dia perlu teguh dengan perjuangan peribadinya tanpa membandingkan diri dengan artis hip hop lain.

“Setiap penyanyi hip hop memiliki keunikan masing-masing dan meski secara kasarnya komuniti hip hop ada persaingan tersendiri, ia bukan mengenai siapa yang menang. Sebaliknya, ia persaingan sihat bahkan kami menyokong sesama sendiri untuk lebih maju,” katanya.

Menurutnya, hip hop lebih kepada identiti dan disebabkan perbezaan yang ada terhadap setiap artis, persaingan itu sebenarnya hampir tiada.

“Saya sendiri ada resipi tersendiri untuk muzik saya dan sudah jumpa kelompok pengikut yang tepat tanpa peduli apa orang lain buat.

“Begitu juga saya sudah jumpa bunyi terbaik untuk muzik saya dan sekarang cuma mahu fokus kepada laluan ini. Saya tidak mahu menyibuk perihal orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 5:30 AM