Feby Putri
Feby Putri
Georgie Joseph


 

Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Feby Putri, 23, sebak akhirnya pertama kali dapat buat pasport, pergi luar negara dan mengadakan konsert sulungnya sejak bergelar anak seni lebih lima tahun.

Feby atau nama sebenarnya Feby Putri Nilam Cahyani berkata, dia tidak pernah menyangka akan diberikan peluang itu selama menjadi penyanyi kerana perjalanan kariernya ke tahap sekarang banyak ranjaunya.

"Semuanya pertama kali, baru ada pengalaman begini dan ia masih asing buat saya. Bila tengok rakan-rakan penyanyi lain yang adakan konsert di Malaysia, buat saya teruja beraksi di luar negara. 

"Sehinggalah Oktober tahun lalu, pengurus memaklumkan ada penganjur ingin membawa saya ke sini. Memang terlalu teruja akhirnya ke luar negara, buat konsert pertama, bawa pasukan ke sini, berdebar tunggu pada hari sebenar konsert.

"Di Indonesia sendiri, saya belum berpeluang adakan konsert sendiri. Tak sangka impian itu akhirnya menjadi kenyataan tapi berlaku di luar negara pula," kata gadis kelahiran Makassar itu.

Popular menerusi lagu Halu, Feby berkongsi dia sanggup merantau ke kota besar Jakarta pada usia 18 tahun demi mengejar impian jadi anak seni. Katanya, hasrat itu ditentang orang tuanya pada awalnya.

"Saya ke Jakarta bersama abang saya yang juga bujang. Kami sama-sama memang minat seni namun ibu bapa mulanya tidak mengizinkan kerana risau. Tapi saya berkeras dan berazam membuktikan usaha saya berhasil.

"Ketika itu saya cuma manfaatkan jumlah pengikut lebih 100,000 di Instagram serta hasil 'cover' lagu orang di YouTube untuk jana pendapatan. Akhirnya pada 2021, saya ada rezeki beli rumah sendiri.

"Melihat pencapaian itu, ibu bapa akhirnya turut bangga dan memberi sokongan terus. Terutama bila dapat ke luar negara, mereka juga tumpang teruja buat saya," katanya.

Feby bakal beraksi menerusi konsert Feby Putri Live in Kuala Lumpur jam 8.30 malam esok di Zepp, Kuala Lumpur. Konsert itu dibawakan Miebird Projects dan Feby bakal menyanyi lebih 12 lagu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 11:35 AM