HATTAN nasihatkan penyanyi baharu supaya tidak hanya bergantung pada satu single.
HATTAN nasihatkan penyanyi baharu supaya tidak hanya bergantung pada satu single.
Oleh Ardini Sophia Sina


MASA pantas berjalan, industri muzik pada masa kini juga dimeriahkan dengan kehadiran ramai penyanyi baharu. Bagaimanapun, jasa bintang yang terlebih dulu mewarnai dunia muzik tidak patut dilupakan.

Tambahan pula, mereka individu yang terlebih dulu merancakkan bidang muzik di Malaysia.

Oleh itu, tidak salah bagi individu yang baru berjinak-jinak dengan dunia seni berjumpa dengan mereka untuk meminta nasihat dan tip berguna.

Sudah 35 tahun bergiat aktif dalam industri seni, penyanyi popular, Datuk Hattan sentiasa memerhati dan menilai bakat anak muda yang mengejar impian bergelar penghibur disegani.

Katanya, pada era globalisasi yang kini menggunakan media sosial sebagai penghubung dengan peminat, Hattan berharap selebriti berhati-hati dalam setiap perkongsian yang dibuat.

“Kita tidak terlepas daripada menggunakan media sosial kerana ia aplikasi pantas untuk berkongsi perkembangan seni dan menjadi medan untuk berhubung sekali gus sentiasa dekat dengan peminat.

“Bagaimanapun, gunakan dengan baik. Jangan jadikan tempat itu untuk bergaduh kerana ia akan menampakkan kebodohan kita sendiri. Lambat-laun, perkara negatif seperti itu akan menjejaskan karier sendiri,” katanya.

Hattan berkata, strategi untuk terus relevan dalam industri seni perlu kuat. Dia ingin melihat penyanyi baharu terus produktif tampil dengan lagu baharu dan tidak hanya bergantung pada satu single.

Tidak dinafikan, segelintir penyanyi lebih selesa tampil dengan satu single dalam tempoh tiga hingga enam bulan dan bimbang andai hasilkan album, produk itu tidak laris dijual.

“Apa yang saya boleh katakan, artis baharu jangan terlalu bergantung pada satu single. Kalau ada modal, buat album penuh. Tidak kisahlah kalau terpaksa jual sendiri pun kerana 10 lagu untuk seorang penyanyi itu sangat penting untuk adakan konsert.

“Single pertama meletup, lepas itu kena tunggu lama untuk single seterusnya. Kalau begitu, empat atau lima tahun akan datang baru dapat buat konsert sedangkan mereka sudah menang dalam pertandingan berprestij dan nama juga popular.

“Contoh tahun pertama ada lima lagu, tahun kedua enam lagu. Tahun ketiga sudah boleh buat konsert. Sayanglah kalau tak buat konsert. Popular dengan satu single tapi ketika buat persembahan masih nyanyi lagu orang. Mana boleh,” katanya.

Bagi Hattan, setiap penyanyi perlu ada rasa tanggungjawab pada diri sendiri dan kerjaya. Untuk menjadi anak seni yang berjaya, seseorang itu tidak boleh memikirkan wang dan populariti hanya untuk tempoh tertentu.

Penyanyi juga perlu ada konsep perjuangan yang diterapkan dalam diri. Jatuh bangun sebagai anak seni itu adalah asam garam dan perlu percaya gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.

“Saya sudah lebih 30 tahun dalam industri tapi masih hasilkan single dan sedang dalam rangka siapkan album serta konsert. Sebagai penyanyi, kita perlu ada kemahuan. Perlu bijak untuk cipta momentum supaya orang kenal kita.

“Tapi, apa yang saya lihat kebanyakan penyanyi sekarang meletup satu lagu, bertanding di Anugerah Juara Lagu kemudian hilang. Takkan kerjaya sampai di situ sahaja.

“Memang betul, rezeki itu Tuhan yang bagi. Tapi, usaha pun harus ada. Biasalah, meletup dengan satu single kemudian untuk single seterusnya kurang menjadi tetapi janganlah terus berhenti dan berputus asa,” katanya.

Hattan juga meluahkan harapan agar populariti seorang artis itu seiring dengan bakat yang ditawarkan kepada peminat. Katanya, setiap penyanyi haruslah sentiasa memperbaiki diri.

“Dulu saya pun sakit tekak juga nyanyi tak tahu teknik. Tapi, saya sanggup naik bas belajar vokal dengan Datuk M Nasir. Oleh itu, penyanyi sekarang ambil peluang untuk belajar vokal daripada guru hebat seperti Datuk Syafinaz, Cikgu Siti Hajar atau Cikgu Syafi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:10 AM