RAISA bijak memukau penonton.
RAISA bijak memukau penonton.
Georgie Joseph


TEMPOH 12 tahun menanti untuk konsert sulung di Malaysia, impian penyanyi dari seberang iaitu Raisa akhirnya tertunai baru-baru ini. Konsert Raisa Live in Malaysia terbabit dihadiri lebih 2,500 penonton bertempat di Zepp, Kuala Lumpur.

Jelas Raisa atau nama sebenarnya Raisa Adriana, 32, dia sangat menantikan detik istimewa itu. Sepanjang konsert, dia tidak lekang senyuman dan berkali-kali menyatakan kegembiraannya dengan sokongan padu semua hadirin.

Paling ketara, dia mencurahkan segalanya pada konsert itu. Bukan sekadar nyanyian memukau, dia berkongsi isi hatinya, emosi, sisi kelakar serta kemampuan muzikal luar biasanya.

Benarlah Raisa penghibur yang sangat berkaliber. Meskipun sudah terlalu besar namanya, bukan alasan untuknya pamerkan persembahan sederhana, tapi sebaliknya memberi sehabis baik.

"Selama 12 tahun saya menanti untuk adakan konsert sulung di sini. Saya amat gembira akhirnya impian jadi kenyataan dan kehadiran kamu semua (peminat) menjadikan memori terindah ini jadi lebih besar maknanya.

"Saya harap akan mendapat tawaran lagi untuk kembali ke sini (Malaysia) untuk adakan konsert seterusnya. Jangan tunggu lama-lama untuk ajak saya lagi buat persembahan di sini," katanya.

Semua penonton yang hadir pada malam itu pastinya sudah tahu dengan kebolehan vokal Raisa. Tiada satu lagu pun yang dipersembahkannya tidak sedap. Setiap satu dinyanyikan penuh kesungguhan.

Bagi penonton yang mungkin bukan peminat fanatiknya pada konsert itu, tentu terpukau dengan bakat hebat Raisa. Dia bukan sekadar menyanyi, tapi menakluk setiap aspek pentas dengan cukup mengagumkan.

Bahkan, tenaga itu turut dirasai setiap yang hadir. Masing-masing tidak henti menyanyi bersamanya dan boleh dikatakan semua lagu dipersembahkan Raisa memang sudah dihafal ramai.

Lebih menggamatkan suasana semestinya sisi kelakar penyanyi itu. Apa saja yang dibualkan di atas pentas memang mengena hati penonton. Terutama, apabila menyentuh perihal mengenai Malaysia.

Cara Raisa menarik perhatian penonton untuk tidak bosan atau rasa konsert itu suram memang terbaik. Apalagi, sesekali dia terbuka berbicara mengenai hal yang menyentuh kisah hidup peribadinya.

Sekali gus, menepis tanggapan bahawa dia adalah seorang yang 'introvert' seperti didakwanya. Sebelum ini, Raisa memang pernah menyatakan peribadinya adalah lebih kepada pendiam.

BERSYUKUR akhirnya dapat adakan konsert sulung di Malaysia.
BERSYUKUR akhirnya dapat adakan konsert sulung di Malaysia.

Bagaimanapun, melihat pembawaan diri serta inti percakapannya malam itu, seakan-akan tidak percaya dia seorang 'introvert'. Dia memang bintang yang mahal seperti berlian sebaik muncul depan penonton.

Pada malam itu, Raisa menyanyi dengan diiringi band dan membahagikan persembahan kepada beberapa segmen. Ia termasuk akustik serta bahagian lagu rancak.

Tampil dengan dua persalinan, rata-rata penonton memuji stamina penyanyi ini. Biarpun lagu-lagunya berterusan dengan nada tinggi,ia tidak menjejaskan pun kemerduan suara Raisa yang cukup gemersik.

Pada konsert berdurasi hampir dua jam itu, Raisa menyanyikan lebih 20 lagu termasuk lagu nyanyian semula.

Ia termasuk lagu Cinta Sederhana, Could It Be, Serba Salah, Love & Let Go, Jangan Cepat Berlalu, Teristimewa, Percayalah, Bertahan/Pergi, Tentang Dirimu, Nyawa dan Harapan dan You.

Tidak ketinggalan, lagu Kutukan (Cinta Pertama), LDR / Biarkanlah / Terjebak, Nostalgia, Bahasa Kalbu, Mantan Terindah, Jatuh Hati, Usai di Sini, Apalah (Arti Menunggu) dan Kali Kedua juga dinyanyikannya

Dianjurkan Hitman Solutions, ternyata demam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) yang masih dirasai ketika itu tidak menjejaskan kehadiran penonton ke konsert terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 6:30 AM