PERSONA Aina Abdul menarik perhatian ramai.
PERSONA Aina Abdul menarik perhatian ramai.
Najiy Jefri


AXIATA Arena, Bukit Jalil menjadi saksi kegemilangan Aina Abdul pada tahun ini apabila berjaya melakar dua peristiwa penting dalam hidupnya.

Bermula dengan kejayaan manis apabila lagu ciptaannya Terus Hidup mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 sekitar Februari lalu.

Terbaharu pelantun lagu Sumpah itu mencipta satu lagi rekod baharu dengan pencapaian luar biasa menerusi Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 baru-baru ini.

Berjaya menghimpunkan lebih 10,000 peminat dalam acara penuh gilang-gemilang itu, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani tidak menyangka selepas lebih sedekad mencanai bakat dalam dunia nyanyian akhirnya impian untuk mengadakan konsert berskala mega akhirnya menjadi kenyataan.

Terharu dengan sokongan peminat yang begitu mengagumi bakat seni serta fesyen yang digayakan, Aina berkongsi momen paling menyentuh hati pada konsert itu.

"Momen paling menyentuh perasaan sudah tentu ketika menyanyikan lagu Terus Hidup. Sebenarnya, Saya buat keputusan pakai baju itu (busana berkonsep awan yang dipakai di pentas AJL Ke-37) sehari sebelum konsert.

"Pada awalnya saya tiada niat nak buat 'encore' pun. Saya nak terus menyanyi lagu itu. Tetapi, apabila ternampak busana itu dipamerkan, saya terfikir bagaimana jika saya pakai baju itu yang sangat istimewa dan masih ada bau AJL," katanya.

Membuka gelanggang dengan alunan muzik rancak Ghost dan Fool, ia sekali gus membuktikan stamina Aina yang terus ampuh apabila menghiburkan peminat selama tiga jam menerusi 34 pilihan lagu peribadinya.

AXIATA Arena Bukit Jalil jadi saksi memori indah Aina Abdul.
AXIATA Arena Bukit Jalil jadi saksi memori indah Aina Abdul.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Kamu, Bleed, Shadow, Sumpah, Bilang, Bukan Untukku, Sedia Terluka, Sepi, Nada Kalbu dan Semalam.

Tidak ketinggalan, Pejam, Mimpi Kita, Jangan Mati Rasa Itu termasuk medley K-pop hits, I Will Go Tou You Like The First Snow, This Love, Shut Down dan How You Like That.

Penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor ini turut mengundang rasa sebak peminat apabila mengalunkan lagu berirama melankolik, Atouna El Toufoule yang ditujukan kepada rakyat Palestin.

Kata Aina, setiap lagu yang dinyanyikan membawa pengertian dan rasa yang berbeza ingin diluahkan kepada peminat yang terus setia mencintai setiap karya dan bakat seni yang dimiliki.

"Konsert ini bertemakan perjalanan seorang Aina Abdul. Ada diri saya yang lincah, galau, tradisional termasuk lagu K-Pop.

"Semua lagu yang dinyanyikan juga bukan lagu asing buat peminat saya. Termasuklah lagu baharu yang dimuatkan dalam album sulung saya berjudul Imaji.

"Ini adalah satu permulaan yang baik untuk peminat baharu mengenali Aina Abdul dan beritahu katalog lagu saya juga sudah bertambah," katanya.

AINA Abdul menyampaikan hiburan lagu hitsnya.
AINA Abdul menyampaikan hiburan lagu hitsnya.

Teruja dapat bekerjasama dengan pasukan yang hebat seperti pengarah muzik, Mac Chew dan Jenny Chin, Aina juga ingin mengambil peluang untuk berterima kasih kepada peminat yang memberikan energi luar biasa pada persembahannya.

"Tanpa jeritan peminat saya pun susah nak naik 'sheikh' dan mengemudi persembahan itu selama tiga jam.

"Terus terang penonton yang menghidupkan konsert ini. Sokongan dan sambutan yang diberikan membuatkan saya rasa nak beri yang lebih baik kepada penonton pada setiap persembahan saya," katanya.

Konsert ANWAA3.0 menelan kos RM1.8 juta ini boleh dianggap sukses dan kebanyakan peminat berasa puas serta pulang dengan senyuman penuh membahagiakan.

Konsert itu turut menyaksikan Aina berpadu suara dengan tiga penyanyi lelaki iaitu Khai Bahar, Haziq Rosebi dan Lah Ahmad.

Mengakhiri temubual bersama media, Aina mengumumkan bakal membawa konsert sama ke Singapura, Januari depan.

"Ini adalah jemputan yang tidak disangka-sangka. Selepas ANWAA3.0 saya anggap ini adalah acara finale pada tahun ini.

"Selepas ini saya nak fokus untuk siri jelajah bagi mempromosikan album Imaji tapi rezeki datang tanpa diduga.

"Saya mendapat tawaran membuat persembahan di Singapura pada 6 Januari depan. Ia bakal menjadi konsert pertama saya di negara itu.

"Diharapkan konsert ini adalah hadiah buat peminat Singapura kerana selama ini mereka selalu datang ke Malaysia untuk menyaksikan persembahan saya, tapi kali ini saya pula bertemu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 6:30 AM