KJ mempamerkan skil bermain gitar
KJ mempamerkan skil bermain gitar

Kuala Lumpur: Selepas menjadi penyampai radio (DJ) Hot FM, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra dipanggil KJ, 47, nampaknya turut berminat menceburi bidang muzik.

Terbaru, beliau berkongsi satu gambar sedang 'jamming' dalam studio muzik dengan memegang gitar bersama beberapa pemain muzik lain.

Menerusi kapsyennya, KJ tetap menulis 'what's next?' (apa perancangan seterusnya) dengan emoji ketawa terbahak.

Meskipun begitu, aksinya dalam gambar itu seakan memberi bayangan cukup serius meneruskan hobi berkenaan.

Untuk rekod, KJ agak aktif dan kerap bermain gitar termasuk mengiringi persembahan anak-anaknya.

Bahkan, kemahirannya dalam bidang itu dikagumi ramai dan sentiasa menjadi perhatian.

Terdahulu, beliau memaklumkan akan mulakan tugas sebagai penyampai Bekpes Hot di Hot FM bermula 15 Februari ini.

Sambil berseloroh, beliau bersetuju menerima tawaran itu kerana tiada pekerjaan buat masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran berharap pembabitan KJ bakal memberikan impak lebih baik kepada Hot FM sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), KJ tewas di parlimen Sungai Buloh dan disusuli dengan beritanya dipecat dari parti Barisan Nasional (BN) kira-kira dua minggu lalu.

Beliau yang tidak lagi mempunyai sebarang jawatan dari peringkat negara ataupun parti itu sempat berseloroh bahawa dirinya tidak mempunyai pekerjaan dan hanya menggalas jawatan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 6:01 PM