Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Kemunculan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai DJ atau penyampai radio Hot FM dalam segmen Bekpes Hot jam 6 pagi hingga 10 pagi, hari ini, nyata menarik perhatian ramai.

Tinjauan di saluran YouTube Hot FM selepas dua jam bersiaran menunjukkan kebanyakan pendengar terhibur dengan bual bicara Khairy atau mesra dengan sapaan KJ yang bergabung bersama Johan dan AG.

Rata-rata komen 'subscriber' sangat positif kerana menyifatkan KJ yang selama ini dilihat sebagai individu serius, namun ada sisi peribadi yang komedi, selamba dan 'masuk air'.

KJ juga terbuka membicarakan bagaimana beliau terbuka hati mahu mencuba bidang kerjaya baharu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Selama tiga penggal bertanding dan menang sebelum ini, namun PRU15 lalu, KJ tewas di Parlimen Sungai Buloh, Selangor selepas beliau pernah menerajui Parlimen Rembau, Negeri Sembilan.

"Ingat ada peluang menang sebab ketika berkempen ramai orang sokong dan nak 'selfie' dengan saya. Tapi, rupa-rupanya menang 'selfie', kalah undi," katanya.

Pada kemunculan di hari pertama ini, KJ juga berkongsi pelbagai tawaran kerjaya diterimanya termasuk daripada pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Apapun, suasana ceria dengan gelak ketawa memenuhi ruangan konti Hot FM dengan sembang santai menghiburkan di antara KJ, Johan dan AG.

Rentetan itu, antara komen pendengar juga kebanyakannya seronok dan terhibur.

"Tergelak dengar menang 'selfie' kalah undi," tulis pelayar.

"Buka Hot FM pagi-pagi ni sebab KJ," tulis seorang pelayar lagi.

"Berapa ramai cari Hot FM nak dengarkan KJ," tulis pelayar di ruangan 'chat'.

"Buka YouTube sebab KJ, tak pernah buat perangai macam ni," tulis seorang pelayar lagi.

Terdahulu, KJ mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM menerusi temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 9:01 AM