Nas Ahmad penerima anugerah Ikon Melodi.
Nas Ahmad penerima anugerah Ikon Melodi.
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: "Saya amalkan buat apapun dalam kerjaya kena ikhlas dan bukan untuk orang sanjung atau harapkan anugerah," kata bekas wartawan hiburan, Nas Ahmad, 62, ketika diminta mengulas anugerah Ikon Melodi yang diterimanya dari pihak pengurusan TV3 dan disiarkan dalam program Melodi Raya hari ini.

Nas atau nama sebenarnya, Md Nasir Ahmad berkata, kita akan berasa kecewa jika kita bekerja untuk mengharapkan anugerah atau penghargaan berkenaan.

"Bila bekerja kita hanya buat yang terbaik dan beri kepuasan pada diri dan majikan.

"Siapa yang nak beri anugerah pada kita itu semuanya soal rezeki dari Allah S.W.T dan kita cuma usaha sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai anugerah itu pula, kata Nas yang lebih dikenali 'Abang Nas Terjah' berkata, dia berasa terharu dan bersyukur kerana menerima anugerah Ikon Melodi selepas lebih dua dekad mengendalikan program hiburan berkenaan.

"Saya sendiri tak sangka bermula dari peminat setia Melodi, akhirnya sejarah terukir bila saya sendiri diangkat sebagai Ikon Melodi selepas artis Ogy Ahmad Daud.

"Saya mahu ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan TV3, Pengurus Penerbitan, Jamil hassan dan Penerbit Melodi, Michelle Wee atas penghargaan diberikan ini,"kata bapa kepada empat anak ini.

Mengimbas sejarahnya bersama Melodi lagi, kata Nas, dia adalah peminat setia program hiburan itu sejak siri pertamanya dulu.

"Saya tidak pernah ketinggalan menonton setiap episod Melodi dalam tempoh empat hingga ke lima tahun.

"Kekuatan Melodi ketika itu bergantung kepada hosnya iaitu Ogy yang juga Ikon Melodi. Semua nak tengok Melodi kerana keletahnya yang selamba setiap minggu.

"Mimpi menjadi kenyataan bila saya ditawarkan oleh Pengurus Hiburan TV3, Nik Ramzi Nik Hassan ( ketika itu) untuk menyertai pasukan Melodi,"katanya.

Kata Nas lagi,  dia menukar tarikan utama Melodi dari hos kepada content (kandungan) selepas 10 tahun berkhidmat dengan stesen TV3 dan memegang jawatan Penerbit Melodi ketika itu.

"Pasangan hos ketika itu, Ogy dan Apek Senario sudah tamat kontrak dan tak nak sambung.

"Team bos Azhar Borhan, Saniboey dan Jamil juga mengeluarkan arahan dan kongsi idea untuk menaikkan semula Melodi.

"Bermulalah, program Melodi yang tampil sensasi, panas, yang terjah dan dicampur dengan liputan berita hiburan semasa.

"Selaku penerbit, saya juga kawal dari segi sensasi dengan pastikan ia  tetap mengikut etika kewartawanan dan penyiaran. Kalau nak terjah untuk berita sensasi pun pastikan mengikut etika kewartawanan dan akan kekal selamat,"katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:17 PM