BIARPUN sudah berusia 45 tahun, Radhi tetap cuba memberikan persembahan dengan penuh semangat dan bertenaga.
BIARPUN sudah berusia 45 tahun, Radhi tetap cuba memberikan persembahan dengan penuh semangat dan bertenaga.
Najiy Jefri


BIARPUN Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Melawati, Shah Alam, Ahad lalu berlangsung lewat sejam, namun peminat yang hadir kekal tenang untuk menantikan persembahan kumpulan rock alternatif dikenali ramai, OAG.

Lebih 2,000 peminat dari pelbagai 'generasi' hadir untuk memeriahkan konsert sempena 30 tahun pembabitan OAG dalam industri seni dan ternyata kumpulan itu masih berbisa dan diminati ramai.

Dianggotai empat anggota iaitu Radhi selaku vokalis utama, Qi Razali (pemain dram), Ammal Bellamy (gitar utama/vokal kedua) dan Nazrin Zabidi atau Yin (pemain basis), konsert terbabit mengenang semula pembabitan kumpulan yang asalnya dikenali Old Automatic Garbage dan ditukar menjadi Orang Asia Genius.

Menerusi konsert itu, Radhi kelihatan begitu bersahaja dan menjadi dirinya ketika berada di atas pentas. Penyanyi berusia 45 tahun itu kelihatan begitu energetik dan mengikut apa saja gerak hatinya ketika menyampaikan setiap lagu.

Sesekali Radhi kelihatan tidak bermaya dan kerap minum air, namun dia masih cuba menyampaikan setiap lagu dengan baik buat peminat setianya.

"Aku 'kantoi' sikit menyanyi tadi. Biasalah kalau tempo lari. Janji kau dan aku gembira," katanya.

Menerusi konsert yang berlangsung selama tiga jam itu, Radhi turut memberitahu peminat bahawa mata kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik akibat katarak.

KONSERT terbabit meriah dengan kehadiran peminat dari pelbagai generasi terutama anak muda yang menjadi peminat baru kumpulan itu.
KONSERT terbabit meriah dengan kehadiran peminat dari pelbagai generasi terutama anak muda yang menjadi peminat baru kumpulan itu.

Justeru, dia perlu berhati-hati ketika membuat persembahan kerana bimbang terjatuh.

"Keadaan mata saya sebenarnya 50-50. Mata kanan saya jadi gelap dan kabur.

"Namun saya harap dapat memberikan persembahan yang baik dan menghiburkan anda semua. Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar," katanya.

Biarpun berdepan masalah penglihatan, Radhi tidak menjadikan ujian itu sebagai halangan untuk menghiburkan peminat menerusi seleksi lagu-lagu hits kumpulan itu.

Pada pembukaan konsert itu yang bermula sekitar jam 9.30 malam, Radhi menghiburkan peminat dengan lagu Beautifool, Horible Spastic, Knocked Silly, Figura Malaya, Danish, Konspirasi, Biru dan Slumber.

Kemudian pada jam kedua kumpulan itu terus membangkitkan semangat peminat menerusi lagu Venusia, Dayang, SenTuhan, Wired, For WhatEver dan Akustatik.

LEBIH 2,000 peminat memeriahkan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku.
LEBIH 2,000 peminat memeriahkan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku.

Memasuki jam ketiga nampaknya peminat sudah mula tidak keruan apabila mempersembahkan lagu yang mengangkat nama OAG hingga dikenali ramai seperti NoWhy2, Names of The Games, Infiniti, Ori, Senyuman Ragamu, PerMySuri, Dont Look Back In Anger, Generasiku, dan 60's TV.

Sebelum konsert terbabit berakhir, pemain dram kumpulan OAG, Qi Razali yang kembali beraksi dalam kumpulan itu selepas meninggalkan OAG pada tahun 1999 berkata, dia berterima kasih kepada peminat yang datang untuk meraikan kumpulan OAG yang sudah bertapak selama 30 tahun.

"Terima kasih kerana sudi sambut muzik OAG yang ke-30. Anda yang hadir hari ini adalah insan yang sentiasa menyokong perjalanan muzik OAG. Terima kasih sekali lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 6:30 AM