RADHI  bersama pemain gitar, Baba Andy dari kumpulan Flop Poppy dan pemain dram, Emri Shamreza dari kumpulan Blind Tribe membuat latihan untuk persembahan konsert dalam talian, Maya Konserto OAG Mods di Kota Damansara. FOTO Aizuddin Saad
RADHI bersama pemain gitar, Baba Andy dari kumpulan Flop Poppy dan pemain dram, Emri Shamreza dari kumpulan Blind Tribe membuat latihan untuk persembahan konsert dalam talian, Maya Konserto OAG Mods di Kota Damansara. FOTO Aizuddin Saad
Najiy Jefri


BERBAKI kurang seminggu konsert yang dinamakan Maya Konserto OAG MODS pada 30 Ogos ini, vokalis kumpulan OAG iaitu Radhi mengaku dia sangat teruja untuk menghiburkan peminat secara dalam talian.

Apa yang menariknya lagi, konsert ini menampilkan Radhi bersama rakan-rakan lamanya seperti Andy dari Flop Poppy, Emri Shamreza (Blind Tribe) dan Nazrin (OAG).

Radhi ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia tidak sabar untuk membuat konsert 'reunion' terbabit yang bakal diadakan di Kedai KL.

"Sebenarnya konsert ini sudah dirancang sebelum kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Namun, disebabkan pandemik Covid-19 kami terpaksa mengubah beberapa perancangan asal.

"Jujur, saya tak sabar menantikan konsert yang boleh dianggap 'reunion' ini kerana akan bergabung dengan Andy (Flop Poppy) selaku sahabat rapat dan kami sering bekerjasama dulu.

"Apapun, konsert ini bakal menyaksikan satu kelainan yang berbeza kerana masing-masing sudah meningkat usia dan kami akan mengimbau kembali segala kenangan lalu," katanya.

Tambah Radhi lagi, hubungan dia dan Andy serta pemuzik lain yang terbabit sama dalam konsert itu bukan asing lagi kerana persahabatan baik.

"Keserasian kami boleh dianggap semula jadi dan tidak perlu dipaksa-paksa. Jadi, anda bakal saksikan satu persembahan yang segar dan unik dengan barisan pemuzik yang ada.

"Lebih 15 lagu bakal dipersembahkan nanti. Saya sudah melakukan beberapa persiapan dan berharap konsert ini menerima sambutan yang baik daripada peminat.

"Difahamkan juga, ada peminat yang ingin datang ke lokasi kami membuat konsert itu, tapi tidak ramai yang boleh menghadirinya kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

TERUJA untuk hiburkan peminat secara dalam talian pada Maya Konserto OAG MODS,  30 Ogos ini. FOTO Aizuddin Saad
TERUJA untuk hiburkan peminat secara dalam talian pada Maya Konserto OAG MODS, 30 Ogos ini. FOTO Aizuddin Saad

Barangkali konsert secara dalam talian yang bakal dipersembahkan nanti adalah sesuatu yang julung kali dilalukan oleh Radhi yang memang dikenali dengan aksi lincah di atas pentas.

Malah, tanpa kehadiran ribuan peminat untuk konsert ini pastinya akan menjadi sesuatu yang janggal. Bagaimanapun, Radhi yakin akan membuat terbaik.

Pun begitu, Radhi memberitahu konsert berkenaan akan lebih santai bersesuaian dengan usia dirinya yang sudah menjengah 42 tahun.

"Persembahan kali ini akan berbeza dari sebelumnya kerana faktor usia saya dan rakan lain. Saya rasa rentak kali ini juga tidak lagi sama macam zaman saya melompat-lompat dahulu.

"Mungkin konsert kali ini lebih tenang, tapi masih mengekalkan momentum Radhi yang anda kenali. Lagipun saya sudah lama tidak membuat persembahan dan atas sebab itu, ingin menghiburkan peminat dengan seleksi lagu yang sering dinyanyikan.

"Malah saya juga akan menyumbang beberapa lagu daripada kumpulan The Beatles," katanya. Justeru, maklumat untuk tiket berharga RM30, boleh layari laman web rasmi uberticket.

Sementara itu, Radhi kini berusaha mengumpul wang untuk pembiayaan kos rawatan pembedahan mata kanannya yang berdepan masalah penglihatan akibat katarak.

Radhi berkata, dia mula perasan mata kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik sekitar Mac lalu. Ujarnya, ia satu lagi dugaan buatnya.

"Tiba-tiba, penglihatan mata kanan saya jadi gelap dan kabur. Saya juga tidak dapat mengawal keseimbangan badan ketika berdiri dan memegang barang.

"Jadi, saya ke hospital untuk dapatkan rawatan dan doktor memberitahu ada masalah katarak di mata kanan itu dan perlu menjalani pembedahan.

"Dianggarkan, kos pembedahan sebanyak RM3,000. Jadi, sekarang saya dalam usaha mengumpul wang secepat mungkin kerana bimbang masalah lain pula akan timbul," katanya.

Menurut Radhi, dia menganggap apa yang berlaku adalah petunjuk daripada Allah SWT supaya dia menjadi insan yang lebih baik.

"Saya anggap penyakit ini, satu hadiah daripada Allah. Mungkin Dia nak beritahu saya, kalau masih teruskan kehidupan lama (masa lampau), masa depan boleh jadi lebih gelap.

"Mohon doakan semoga mata kanan saya kembali normal. Termasuk, saya dapat menikmati kehidupan dengan jalan yang lebih baik dan diredai Allah," katanya.

Difahamkan konsert yang bakal diadakan itu bertujuan membantu Radhi mengumpul dana bagi melakukan pembedahan mata kanannya secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:21 AM