Radhi OAG menjayakan persembahan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati Shah Alam malam tadi.
Radhi OAG menjayakan persembahan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati Shah Alam malam tadi.
Najiy Jefri


Shah Alam: "Saya tak pandai baca al-Quran. Semoga saya dikurniakan kesempatan oleh Allah untuk membaca al-Quran. Doakan saya, Insya-Allah," kata Radhi OAG.

Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 45, mendedahkan perkara itu ketika menjayakan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, malam tadi.

Pada konsert itu, lebih 2,000 peminat hadir memeriahkan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku.

Kumpulan rock alternatif popular itu dianggotai empat anggota iaitu Radhi selaku vokalis utama, Qi Razali (pemain dram), Ammal Bellamy (gitar utama/vokal kedua) dan Nazrin Zabidi atau Yin (pemain basis), konsert sempena 30 tahun pembabitan OAG itu berjaya menghimpunkan ramai anak muda.

Sepanjang tiga jam konsert terbabit berlangsung, Radhi beberapa kali mengajak peminatnya untuk berselawat ke atas junjungan Nabi SAW.

Radhi juga menegaskan nama OAG yang asalnya membawa makna Old Automatic Garbage dan ditukar menjadi Orang Asia Genius, turut boleh disifatkan sebagai Only Allah Greatest (Hanya Allah Maha Besar) pada acara berkenaan.

Biarpun konsert bermula sedikit lewat, namun peminat yang hadir terus setia menantikan persembahan kumpulan itu yang terkenal dengan lagu 60's TV, Knocked Silly, Slumber, Generasiku, Dayang, PerMYsury, Sabtuday dan Akustatik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 2:21 PM