Hanis Zalikha bersama Hairul Azreen ketika menghadiri Majlis Pelancaran Fayce Malaysia di  The Lemon Tree, Petaling Jaya. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Hanis Zalikha bersama Hairul Azreen ketika menghadiri Majlis Pelancaran Fayce Malaysia di The Lemon Tree, Petaling Jaya. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Najiy Jefri


Petaling Jaya : Kemesraan pasangan selebriti, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen di media sosial menarik perhatian warganet apabila ramai pihak terinspirasi dengan kebahagiaan yang dipamerkan mereka.

Bersyukur dengan keharmonian rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun, Hanis berkata, perkara itu tidak akan berlaku tanpa kehadiran Hairul yang sentiasa mengutamakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

"Sebagai wanita saya suka dijaga, lebih-lebih lagi ada suami yang sentiasa melindungi serta sayangkan kita. Saya lihat Hairul menjalankan peranannya sebagai bapa dan suami secara serius.

"Jadi, secara tidak langsung hubungan kami rapat. Saya sangat menghormatinya sebab dia lelaki yang bertanggungjawab," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Minyak Wangi Fayce Fume di sini, semalam.

Terdahulu, netizen memuji keperibadian Hairul yang pandai menghargai pengorbanan isterinya yang bersengkang mata menjaga anak keduanya, Alisa Aisyah yang dirawat selama seminggu di sebuah pusat perubatan, di sini, minggu lalu.

Ditanya adakah Hairul seorang individu yang romantis sebelum mereka berkahwin, Hanis berkata, dia mengenali suaminya seorang yang periang.

"Dia seorang lelaki yang periang sejak dulu lagi. Kelakuannya itu membuatkan saya seronok setiap kali kami bersama," katanya.

Hanis dan Hairul berkahwin pada 5 Jun 2015 dan dikurniakan dua cahaya maa iaitu Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:03 PM