MAHU mantapkan penggunaan bahasa itu sesuai tanggungjawab sebagai hos kendali artis dari negara berkenaan.
MAHU mantapkan penggunaan bahasa itu sesuai tanggungjawab sebagai hos kendali artis dari negara berkenaan.
Najiy Jefri

PENGACARA, Hani Fadzil, 29, mengikuti kelas bahasa Korea secara khusus bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa berkenaan berikutan tanggungjawabnya sebagai hos yang sering mengendalikan artis Korea Selatan yang datang ke Malaysia.

Hani berkata, dia mula belajar bahasa Korea secara tidak formal bersama kenalannya sejak tahun lalu dan hanya mengikuti kelas secara formal awal tahun ini.

"Apabila artis dari Korea Selatan berkunjung ke sini, saya sering diberi kepercayaan untuk menjadi pengacara. Jadi, saya mengambil inisiatif menghadiri kelas secara formal.

"Jadi, tidak perlulah menggunakan khidmat jurubahasa apabila saya sudah menguasai bahasa Korea. Sebelum ini, saya boleh membaca sejak dari zaman sekolah, cuma pemahaman dari segi percakapan agak kurang.

"Alhamdulillah, saya baharu selesai mengambil ujian dalam talian untuk tahap dua. Saya ambil masa juga untuk belajar memandangkan sekarang saya hamil, tetapi saya seronok," katanya pada sidang media atas talian memperkenalkan program infotainment Mpop!, baru-baru ini.

Hani yang mendirikan rumah tangga bersama Wan Faiz sejak tiga tahun lalu kini hamil lima bulan.

Bercerita mengenai program Mpop! yang bersiaran selama lima minit setiap Isnin hingga Rabu di TV3 dan TV9 itu, Hani berkata, dia bersyukur diberi kepercayaan mengendalikan program itu ketika banyak program seni yang lain dibatal atau ditunda ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Syukur saya masih ada MPop! Sekurang-kurangnya ada kerja untuk saya ketika ini kerana saya juga tidak bertugas sebagai penyampai radio. Jadi, saya boleh fokus mengacarakan program ini.

Mpop! ini adalah program infotainment selama lima minit yang mengetengahkan berita hiburan, gosip, fesyen dan tips gaya hidup terkini.

Ketika negara menjalani tempoh PKP, program MPop! diteruskan dengan mengubah suai temu bual artis secara atas talian supaya penonton terus diberikan maklumat terkini dari industri hiburan dan fesyen.

Selain Hani, program itu turut dikendali oleh dua pengacara lain, Nina Nadira dan Harris Alif.

Menurut Hani, sebagai pengacara dia perlu mengikuti segala perkembangan industri hiburan tanah air bagi memastikan dirinya tidak ketinggalan daripada isu yang berlaku.

"Sejak mengacarakan program ini pada awal tahun ini, saya banyak membaca berita hiburan dan mengikuti perkembangan selebriti tanah air.

"Ia bagi memudahkan saya untuk berkongsi cerita hiburan kepada penonton. Saya tidak mahu dilihat kekok depan kamera apabila bercerita mengenai pembabitan seseorang selebriti," katanya.

MPop! boleh ditonton pada setiap Isnin hingga Rabu di TV3, jam 12.55 tengah hari dan TV9 jam 8.30 malam. Ia juga boleh ditonton di platform digital iaitu www.tonton.com.my untuk paparan yang eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 6:30 AM