HANIS jadi tunang Hairul pada 21 Mac lalu.
HANIS jadi tunang Hairul pada 21 Mac lalu.
Oleh Wahi Aziz


“Harap-harap dalam tempoh dua bulan ini saya dapat mengenali Hairul lebih mendalam sebelum menjadi isteri dia supaya bila kami kahwin nanti keadaan jadi lebih mudah.”

Demikian harapan pengacara dan pelakon Hanis Zalikha Zainal Rashid atau Hanis, 25, mengenai pernikahannya dengan pelakon Hairul Azreen Idris, 27, yang dijadualkan berlangsung pada 5 Jun depan.

Hanis berkata, dia tidak mahu membebankan fikiran dengan aspek persiapan majlis semata-mata, tetapi lebih memberikan keutamaan untuk lebih mengenali Hairul sebelum mereka menjadi pasangan suami isteri.

“Itu benda paling penting dalam fasa pertunangan ini supaya saya dapat tahu dan belajar memahami dia dengan lebih terperinci dan mendalam.

“Jadi apabila kami sudah berumah tangga nanti senanglah sikit untuk melayari kehidupan baru itu bersama. Saya harap sangat tempoh ini memadai untuk saya mendekati Hairul.

Majlis pertunangan Hanis dan Hairul, 27, berlangsung secara tertutup di kediaman keluarga aktres itu di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis resepsi mereka pula diadakan pada 14 Jun di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Percintaan mereka mengejutkanorang ramai apabila Hairul melakukan lamaran secara terbuka pada siaran langsung program akhir Gegar Vaganza, 3 Januari lalu.

Ekoran tindakan itu, Hanis dan Hairul berdepan kecaman umum dan dikecam kerana segelintir pihak menganggap ia tidak bersesuaian dengan budaya Melayu. Ia juga dianggap bersifat kebaratan dan membelakangkan agama.

Pasangan yang mula berkenalan sejak 2004 itu dipercayai menjadi lebih serius dalam hubungan mereka, kira-kira setahun lalu.

Kata Hanis, selain persediaan untuk majlis dia turut mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan tip menjadi isteri yang dipelajari menerusi ceramah dan buku-buku.

“Nak kata berdebar itu belum lagi rasanya, tapi perasaan saya lebih pada teruja untuk fasa baru nanti. Kalau nak cakap persiapan fizikal dan barang-barang itu (untuk majlis) itu berjalan macam biasa.

“Yang saya tekankan sekarang adalah persediaan mental dan diri sendiri untuk jadi isteri orang. Saya banyak dengar ceramah dan baca buku untuk tambah ilmu pengetahuan,” katanya.

Hanis berkata, dia juga berharap hubungannya dan Hairul berjalan dengan lancar sepanjang tempoh pertunangan ini.

“Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Yang paling saya harapkan dalam fasa ini (pertunangan) kami tak diuji dengan hebat yang di luar kemampuan diri.

“Semoga kami dapat harungi fasa ini dengan baik, insyaAllah. Mohon semua doakan yang terbaik agar kami dapat disatukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:56 AM