Eida Moin (tengah).
Eida Moin (tengah).
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Ieda Moin, 43, melahirkan kebimbangan berikutan tawaran berlakon untuknya semakin berkurangan.

Ieda berkata, walaupun namanya tersenarai sebagai Top 5 Artis Komedi Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022), tawaran berlakon amat menyedihkan.

"Saya pun bingung mengapa perkara ini boleh berlaku. Selalunya yang banyak tawarkan berlakon ialah produksi dari Astro, Suke TV dan RTM.

"Produksi luar yang panggil berlakon memang boleh dikira dengan jari. Dulu ada juga nama-nama produksi besar panggil berlakon tapi sekarang sudah tiada lagi.

"Ikutkan saya tiada masalah dengan mana-mana stesen TV atau digam. Mereka cari saya tanya tarikh kosong dan selepas itu janji nak hubungi semula tapi sudahnya diam begitu saja," katanya kepada Harian Metro.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin berkata, dia tidak 'demand' harga dan masih mengekalkan bayaran sama seperti dulu.

"Harganya sama dan tak pernah berubah sampai sekarang. Tak tahulah kalau produksi sudah dapatkan artis baru yang lagi murah.

"Apapun saya bersyukur banyak diberi peluang berlakon dengan produksi Mega Pine milik pelakon, Nazia Mustafar yang banyak terbitkan drama untuk Astro. Saya akui bentuk fizikal bukan punca utama. Rasanya produksi dapat artis baru harga yang murah tak masuk akal. Janji muka dapat masuk TV kot," katanya.

Ieda berkata, amat tidak logik namanya tidak lepas untuk muncul di semua stesen TV.

"Bukan saya tak pernah dapat watak pembantu utama. Kalau watak heroin sekarang memang tidaklah dan saya sedar hal ini.

"Namun untuk cerita komedi, saya selalunya masih lagi dapat watak utama. Saya agak beruntung kerana masih lagi kerap dapat tawaran terbabit program komedi," katanya.

Menurutnya, industri kini dibanjiri artis baru dan dia perlu bersaing dengan mereka yang masih muda.

"Lainlah kalau saya pernah tercalon contohnya dalam Anugerah Bintang Popular pasti ada yang ingat. Insya-Allah, selagi nama relevan orang masih nakkan saya dalam industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 1:26 PM