Lumrah hidup manusia takkan terlepas daripada dugaan. Sama ada manis atau pahit, itulah ujian hidup yang sudah tersurat perlu dialui.

Begitu juga dengan kehidupan berumah tangga. Tiada wanita atau sesiapa saja insan yang mahu mahligai dibina berakhir dengan noktah perpisahan.

Episod hitam ini juga yang harus dilalui pelakon dan penyanyi, Ieda Moin, 35. Tanpa angin dan ribut, tiba-tiba tersiar kisah perceraiannya.

Mahligai rumah tangga Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin selama lapan tahun bersama Mohamad Naquib Idris, 35 akhirnya ternoktah pada 18 Disember lalu. Namun, Ieda reda.

Hasil perkongsian hidup pasangan ini, mereka memiliki seorang cahaya mata perempuan, Nur Dhia Dania yang kini berusia enam tahun.

Ikuti temu bual wartawan RAP Harian Metro, Norhayati Nordin ([email protected]) bersama Ieda.

RAP: Bagaimana keadaan sekarang selepas dugaan yang berlaku?

IEDA: Akur dengan takdir dan teruskan saja kehidupan yang sudah diatur Allah ini sebaik mungkin. Sebagai manusia biasa, saya terima semua dugaan ini dengan lapang dada.

Saya dan bekas suami pun berpisah secara baik kerana sudah tiada persefahaman. Jadi, tiada apa yang hendak dipertahankan lagi.

Saya akur dengan takdir ini dan enggan lagi mengenang apa yang berlaku. Apatah lagi, 2014 pun semakin hampir melabuhkan tirai dan buku baru harus dibuka.

RAP: Dengarnya anda dikecam teruk apabila kisah perceraian itu diketahui masyarakat?

IEDA: Setiap pandangan manusia terhadap sesuatu perkara itu berbeza. Termasuklah dengan episod perceraian yang saya lalui.

Terus terang, saya tidak mampu menutup mulut orang untuk bercakap yang baik atau buruk terhadap semua ini. Kalau mulut tempayan lainlah.

Apapun, saya maafkan mereka kerana ini yang lebih baik dan dituntut agama. Bagi saya, biarkanlah mereka dengan tanggapan masing-masing. Itu hak mereka.

Bahkan, saya juga sudah maafkan bekas suami di atas apa yang berlaku sepanjang kami hidup bersama. Kini, saya pun sudah tenang.

RAP: Tidak pernahkah ada usaha untuk menyelamatkan rumah tangga anda sebelum ini?

IEDA: Sudah pasti tiada seorang wanita pun yang berkahwin mahu rumah tangga dibina mereka runtuh dengan perceraian. Begitu juga saya.

Selama lima tahun saya cuba memperbaki semuanya, tetapi perancangan takdir itu lebih baik. Saya sudah berusaha, namun ini juga (cerai) jalan penyelesaian terakhir kami.

Sekarang, macam saya cakap buku baru perlu dibuka. Lagipun, saya ada anak dan keluarga yang sewajarnya hati dan perasaan mereka dijaga. Kini, mereka keutamaan saya.

Selain itu, saya juga masih berhubungan baik dengan keluarga bekas mentua. Biarpun saya bukan lagi berstatus menantu, tetapi rasa kasih dan sayang serta hormat pada mereka akan kekal selamanya.

RAP: Perkembangan karier lakonan anda?

IEDA: Syukur Alhamdulillah rezeki berlakon masih ada. Tawaran pun okey cuma saya lebih selesa mempertimbangkan watak sesuai.

Meskipun sekarang saya sudah kurus, tetapi pemilihan watak itu penting. Bukan saya cerewet atau bersikap terlalu memilih, namun kesesuaian watak diutamakan.

Saya mempunyai minat mendalam pada seni dan syukur juga dengan bakat dianugerahkan Tuhan ini. Jadi, saya perlu melakukan terbaik dalam karier diceburi.

RAP: Bagaimana dengan karier nyanyian anda pula?

IEDA: Minat saya terhadap nyanyian tidak pernah pudar meskipun kini menceburi lakonan. Ditambah, melalui pentas nyanyian jugalah saya dikenali peminat.

Berkat kesabaran saya yang selama ini menunggu peluang mendapat tawaran merakamkan single baru akhirnya menjadi kenyataan. Kini, saya sibuk di studio rakaman.

Saya sekarang dalam proses merakamkan single yang bergenre pop komedi. Buat masa ini judul muktamad untuk lagu ini belum diputuskan tetapi ia hasil ciptaan komposer Hamid Mufari.

Lagu ini sesuai dengan jiwa saya kerana ia ada elemen komedi. Saya juga yakin dengan hasil ciptaan komposer ini kerana dia pernah menghasilkan lagu Hanya Kau Yang Mampu dipopularkan Aizat Amdan.

RAP: Semua nampak sudah kembali teratur, harapan anda?

IEDA: Seiring dengan kedatangan 2015 yang menghitung hari, saya kini mahu meneruskan kehidupan dengan lebih baik lagi. Sekarang, semua yang saya lakukan hanya untuk anak dan keluarga.

Motivasi saya untuk diri, jangan menoleh ke belakang lagi dan terus maju bergerak ke hadapan untuk cuba dapatkan apa yang saya impikan.

Lupakan episod duka dan sentiasa positif dalam meneruskan kehidupan. Apatah lagi, anak dan keluarga ada di belakang saya memberikan sokongan mereka.

Saya perlu kuat dan tabah. Pedulikan apa orang hendak kata atau fikir mengenai saya, asalkan kerja keras saya untuk mencari rezeki buat keluarga diberkati dan lancar seperti dirancang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:02 AM