IEDA Moin terkejut apabila pengurus produksi menjelaskan ada individu menyampaikan cerita dia sudah berhenti berlakon. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
IEDA Moin terkejut apabila pengurus produksi menjelaskan ada individu menyampaikan cerita dia sudah berhenti berlakon. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI dan pelakon komedi, Ieda Moin mendedahkan dia disabotaj oleh rakan industri sendiri yang cuba menutup periuk nasinya dalam lakonan.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 40, berkata, dia menyedari perkara itu apabila mendapati tidak menerima sebarang tawaran berlakon selepas sambutan Aidilfitri lalu.

“Ikutkan ini bukan perkara baru yang terjadi kepada saya. Tahun lalu, ada individu yang memberitahu pengurus produksi dan penerbit yang saya malas nak berlakon kerana terlalu sibuk ikut karnival jualan di seluruh negara.

“Ini perkara yang sengaja direka bagi menutup rezeki sedangkan saya memang berharap rezeki daripada berlakon.

“Tahun ini pun situasinya sama kerana kebiasaannya selepas seminggu raya, saya pasti akan dapat tawaran berlakon atau didatangi panggilan untuk apa-apa saja kerja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia berasa tidak sedap hati dan menghubungi beberapa pengurus produksi yang dikenalinya untuk bertanyakan perkara itu.

“Memang saya amat terkejut apabila mereka menjelaskan ada individu menyampaikan cerita yang saya dah berhenti berlakon dan hanya fokus pada program televisyen.

“Menyedapkan cerita ini, saya dikatakan lebih suka buat program komedi dan sudah pandai ‘demand’ harga mahal.

“Saya cuba mengorek rahsia bertanya pengurus produksi untuk memberitahu siapa pembawa mulut ini tapi mereka enggan mendedahkan identiti individu terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Ieda yang kembali memegang status isteri apabila berkahwin dengan Mohd Amril Gulkhan Abdul Rahman, 36, pada 12 April lalu mengakui sambutan Aidilfitrinya lalu kurang meriah kerana program masakan Kecoh Dapur sudah diberhentikan siarannya.

“Program ini disiarkan menerusi TV2 dan sambutan penonton memang menggalakkan. Ini sebenarnya sumber duit raya saya sejak saban tahun.

“Namun malangnya, program yang turut menampilkan Amyza Aznan ini diberhentikan secara drastik dan ia sesuatu yang menyedihkan.

“Saya harap RTM dapat menimbangkan untuk menerbitkan semula program ini pada tahun depan kerana matlamatnya bagus iaitu mengetengahkan konsep memasak secara rewang dengan penduduk kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:16 PM