IEDA Moin (kiri) dengan penampilan terbaharunya yang kini bertudung. FOTO IG Ieda Moin
IEDA Moin (kiri) dengan penampilan terbaharunya yang kini bertudung. FOTO IG Ieda Moin
Ridzuan Abdul Rahman

"MULANYA terfikir juga rasa bimbang di hati, kalau orang dah tak selesa panggil saya berlakon apabila buat keputusan nak bertudung. 

"Tapi rupanya saya silap kerana rezeki Allah itu luas. Apabila ikut suruhannya buat benda yang baik, Allah jaga rezeki kita," kata penyanyi dan pelakon komedi Ieda Moin, 41, berkenaan penampilan terbaharunya yang kini bertudung.

Ieda atau nama sebenar Siti Haida Abdul Moin yang mula bertudung sejak bulan lalu mengakui lega kerana penghijrahannya mendapat sokongan pelbagai pihak.

"Alhamdulillah, apabila bertanya kepada pengurus produksi dan mereka yang pernah bekerjasama dengan saya, semua kata jangan risau.

"Ujar mereka, apa yang utama dan diperlukan ialah bakat saya dan bukan kerana penampilan. Sekarang pun saya masih lagi belajar nak berpakaian dengan sempurna," katanya kepada Harian Metro.

Ieda yang kerap berlakon drama komedi berkata, dia percaya doa semua pihak terutama ibubapa dan sahabat rapatnya, pelakon Noorkhiriah yang tidak putus-putus mendoakan terbaik buatnya, dimakbulkan Allah.

"Nor setiap tahun akan berpesan-pesan untuk saya memakai tudung dalam perbualan kami. Dia tidak pernah memaksa, tetapi demi kasih sayangnya pada persahabatan kami. 

"Hanya kami berdua saja faham kenapa dan tahu mengapa. Malah, saya rasa keputusan bertudung ini juga lahir kerana sayangkan suami, abah dan saudara lelaki saya.

"Saya tidak mahu tarik mereka semua masuk ke neraka kerana pentingkan diri hanya nak hidup dalam industri ini demi kelangsungan kerjaya. Insya Allah, saya percaya rezeki tetap ada," katanya.

Bercerita lanjut, Ieda berkata, dia sebenarnya sudah lama menyimpan keinginan untuk bertudung, namun ditangguh akibat kekangan kerja yang masih berbaki.

"Tapi, tahun ini memang saya dah benar-benar bersedia pakai tudung dengan rela hati tanpa paksaan sesiapa.

"Suami, Mohd Amril Gulkhan Abdul Rahman pun sudah lama tahu keinginan saya. Ikutkan hati, sebelum kahwin pada 12 April 2019 lagi saya dah berhajat nak bertudung.

"Tapi iyalah...kita kan manusia biasa, kadang-kala iman tak tetap," katanya terus terang. 

FOTO IG Ieda Moin
FOTO IG Ieda Moin

Bagi Ieda tarikh 18 Mac 2020 sememangnya satu tamparan yang hebat terhadap dirinya.

"Ia seperti permulaan tahun yang sangat menguji saya. Bukan sekadar tarikh lahir suami, namun pada masa sama juga ia tarikh kematian penyanyi Maya Ruslee.

"Tak terkecuali negara kita memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang kita tak pernah terfikirkan dan akan hadap sebelum ini. 

"Apabila semuanya berlaku serentak, saya dah mula berfikir dan tak selesa dengan diri sendiri yang rasanya macam tidak lengkap," katanya.

Puas memikirkan kekurangannya, Ieda memberitahu suami berkenaan keinginannya untuk bertudung.

"Suami gembira kerana memang dah lama dia tunggu saya bersuara sendiri, kerana dia tak nak saya  bertudung sebab nak puaskan hati orang lain atau mengikut trend.

"Suami nak saya ikhlas buat keputusan ini. Apabila dia kata begitu, saya pun tanpa berfikir panjang terus keluar cari selendang atau 'hoodie' untuk tutup kepala," katanya.

 Ieda sebenarnya mula cuba-cuba bertudung pada tarikh istimewa ulang tahun kelahirannya pada 4 Mei lalu yang turut disambut dengan anak tunggalnya, Nur Dhia Dania, 12, kerana mereka berkongsi tarikh lahir sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:49 PM