IEDA Moin
IEDA Moin
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Rimas sering terima bahan lucah daripada seorang lelaki gila seks sejak bulan lalu, pelakon Ieda Moin, 42, bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, di sini, semalam.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin berkata, dia sudah tidak tahan dengan gangguan diterimanya menerusi ruang mesej peribadi di Instagram sehingga beri kesan kepada emosi.

"Mulanya saya memang nak buat tak tahu dan sekat saja akaunnya dari awal. Keesokan harinya, dia buat akaun baharu dan ia berterusan begitu sehingga beberapa kali termasuk pagi ini.

"Memang geli sangat sebab bukan sekadar gambar dan video kemaluan, kata-katanya agak 'psiko'. Ia benar-benar mengganggu emosi saya apabila menerimanya semalam sewaktu tengah bekerja.

"Saya nekad untuk buat laporan polis disebabkan risau perkara buruk mungkin berlaku. Ini kerana, dia turut tangkap skrin gambar saya sekeluarga dan ia amat membimbangkan," katanya.

Ieda mengakui sangat risau jika individu itu bertindak lebih melampau sehingga membabitkan keluarganya.

"Bayangkan kalau dia mengganggu anak saya pula atau anak saya tertengok mesejnya? Belum lagi kalau tiba-tiba dia boleh muncul depan mata pula suatu hari nanti," katanya.

Ieda berkata dia sebolehnya tidak mahu memanjangkan perkara itu dan polis menasihatkannya untuk turut melaporkan kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Tak naklah sampai nak ambil tindakan ke mahkamah atau sebagainya. Cukuplah individu itu dapat pengajaran dan berhenti lakukan aktiviti tak bermoral sebegitu.

"Saya akan ke SKMM juga untuk kes ini supaya mereka dapat mengesan individu itu. Sudahlah cukup di sana, asalkan dia tidak mengulangi hal itu kepada mangsa lain pula," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 12:06 PM