VOKAL Ed Sheeran menerusi konsert jelajahnya dalam The Mathematics Tour buai peminat hingga saat akhir.
VOKAL Ed Sheeran menerusi konsert jelajahnya dalam The Mathematics Tour buai peminat hingga saat akhir.
Ridzuan Abdul Rahman


Terhibur! Begitulah yang dirasakan 55,000 penonton yang hadir membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, baru-baru ini yang menyaksikan persembahan penyanyi terkemuka Britain, Ed Sheeran menerusi konsert jelajahnya, +-=˜X atau The Mathematics Tour.

Persembahan bintang bernama sebenar Edward Christopher Sheeran, 33, kelahiran Halifax, West Yorkshire, England itu ternyata hebat dan mempunyai keistimewaan tersendiri yang berbekas di hati peminat.

Sheeran dilihat memilih mengehadkan komunikasi dengan penonton dan hanya mengucapkan beberapa dialog tertentu.

Dia sebaliknya mempamerkan kehebatan menerusi vokal bertenaga dan petikan gitar yang berganti-ganti dari gitar elektrik ke gitar akustik mengikut variasi lagu.

Sudah pasti persembahan Sheeran turut dimantapkan dengan sistem pencahayaan pentas yang menarik dan menyerlah sekali gus memberikan nyawa untuk konsert ini.

Kehadiran Sheeran untuk beraksi kali kedua selepas kali pertama melakukannya pada 2019 pasti akan mengukuhkan lagi namanya kepada peminat di Asia.

PERSEMBAHAN Ed Sheeran meninggalkan kenangan manis buat peminat yang hadir.
PERSEMBAHAN Ed Sheeran meninggalkan kenangan manis buat peminat yang hadir.

Persembahan muziknya yang bervariasi dari genre pop, folk-pop dan soft rock membuatkan peminat terbuai dan menonton sehingga ke akhir

Sheeran tidak membuang masa penonton apabila memulakan persembahan tepat pada jam 9 malam menerusi lagu berjudul Tides yang dipetik dari album kelimanya berjudul Equals.

Konsert The Mathematics Tour turut menampilkan rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Photograph, Shape Of You, Thinking Out Loud, You Need Me, I Don't Need You dan banyak lagi.

Sheeran turut mengambil kesempatan menyanyikan lagu-lagunya yang mungkin kurang dikenali seperti American Town, Peru, Celestial dan beberapa seleksi lain.

Calum Scott pula ditampilkan sebagai penyanyi jemputan dalam konsert ini.

CALUM Scott sebagai artis undangan.
CALUM Scott sebagai artis undangan.

Dalam pada itu, tiada aksi melampau atau keterlaluan seperti yang dibimbangi segelintir pihak, konsert ini berjalan lancar dan melabuhkan tirai tepat pada jam 11 malam.

Percikan bunga api semasa lagu penutup Bad Habits disambut kegembiraan oleh semua penonton yang hadir dan meninggalkan SNBJ dengan penuh memori indah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 6:30 AM