KONSERT Hitman David Foster & Friends Asia Tour 2023 menghimpunkan lebih 3,000 peminat
KONSERT Hitman David Foster & Friends Asia Tour 2023 menghimpunkan lebih 3,000 peminat
Ramlah Zainal


Persembahan mantap penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika mendendangkan lagu The Power Of Love nyanyian asal Celine Dion ketika Konsert Hitman David Foster & Friends Asia Tour 2023 bukan sahaja memikat hati maestro muzik terkemuka itu, sekali gus berjaya memukau seramai 3,000 penonton di Mega Star Arena, baru-baru ini.

Foster, 73, yang bermain piano mengiringi persembahan Siti pada malam itu juga memuji kehebatan vokal penyanyi terkenal itu ketika menyampaikan lagu The Power Of Love.

Malah, pemenang 16 kali Anugerah Grammy itu sempat berseloroh meminta penonton untuk turut memberikan kredit padanya sebagai pencipta lagu berkenaan.

"Beliau (Siti) mempunyai suara yang sangat merdu," katanya.

Tidak cukup dengan satu lagu, Foster turut meminta Siti menyanyikan lagu All By Myself yang juga dipopularkan Celine secara spontan.

Namun, Siti hanya menyanyikan lagu All By Myself beberapa rangkap sahaja kerana menganggap lagu itu agak tinggi dan memerlukannya banyak latihan.

FOSTER turut mempersembahkan beberapa lagu ciptaannya
FOSTER turut mempersembahkan beberapa lagu ciptaannya

"Saya akan cuba menyanyikan lagu All By My Self pada konsert akan datang," katanya yang turut mendapat sorakan dari penonton.

Menurut Siti, peluang berkongsi pentas bersama Foster juga bagaikan mimpi menjadi nyata dalam hidupnya.

"Terima kasih (Foster) kerana menjemput saya. Saya sangat gembira kerana dapat sekali lagi bersama dengan insan yang saya kagumi," katanya.

Siti kemudian meneruskan persembahannya dengan menyampaikan lagu barunya berjudul Sehebat Matahari hasil ciptaan Aubre Suwito dan lirik ditulis oleh Rozi Sangdewi.

Lagu ini turut dimuatkan dalam album terbaharu, SITISM yang dilancarkan, bulan lalu.

Untuk rekod, Siti dan Foster pernah berkongsi pentas ketika menjayakan Malam Gala Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang pada 2014.

Selepas Kuala Lumpur, Siti turut menjayakan siri Konsert Hitman, David Foster & Friends Asia Tour 2023 di Singapura pada keesokan harinya.

Konsert amal tampilkan penyanyi popular antarabangsa

Selain Siti, konsert berdurasi 90 minit itu turut menampilkan penyanyi popular antarabangsa seperti Peabo Bryson, Michael Bolton, Katharine McPhee dan Loren Allred.

Sepanjang tempoh itu, penonton bagai dibawa kembali ke era 1990-an menerusi rangkaian lagu hits sentuhan magik Foster yang juga komposer terkenal dari Kanada itu menerusi lagu seperti I Will Always Love You, I Have Nothing, A Whole New World, Beauty and The Beast , How Am, I Supposed To Live Without You, Never Enough, The Prayer dan banyak lagi.

Tirai persembahan dimulakan dengan penyanyi Loren menyampaikan lagu popularnya, Never Enough yang juga lagu runut bunyi filem The Greatest Showman.

Loren kemudiannya bergandingan dengan Peabo untuk menyampaikan lagu A Whole New World yang dipetik daripada filem Aladin pada 2019.

Semua penonton pada malam itu juga seakan mengimbau memori ketika zaman kanak-kanak apabila Katharine berduet bersama Peabo untuk menyampaikan lagu daripada filem animasi popular Disney, Beauty And The Beast.

Penyanyi popular era 80-an, Micheal Bolton yang tampil menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu romantis seperti When A Man Loves A Women, Said I love You But I Lied, Georgia On My Mind dan How Am I Supposed To Live.

PERSEMBAHAN Siti Nurhaliza mendapat tepukan gemuruh peminat
PERSEMBAHAN Siti Nurhaliza mendapat tepukan gemuruh peminat

Konsert amal anjuran Yayasan Prihatin pada malam itu diakhiri dengan persembahan penutup, gandingan hebat duet Loren dan Katharine menyampaikan lagu medley daripada penyanyi popular Whitney Houston menerusi album Bodyguard.

Secara kesimpulannya, walaupun ia konsert amal, konsert Hitman, David Foster & Friends memang tidak menghampakan penonton kerana rata-ratanya terhibur dengan persembahan dan vokal mantap dari penyanyi antarabangsa.

Sementara itu, dalam kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, konsert amal itu dilihat bukan sahaja mampu mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa, malah membantu mengumpul dana bagi memperkasakan pendidikan dalam kalangan pelajar yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 6:30 AM