VOKAL Aina yang tidak perlu lagi dipertikaikan.
VOKAL Aina yang tidak perlu lagi dipertikaikan.
Syafil Syazwan Jefri


Konsert A Night With Aina Abdul yang berlangsung pada Khamis dan Jumaat lalu menjadi kemuncak bagi karier penyanyi popular, Aina Abdul, 28, setakat ini.

Malam terakhir, rakan-rakan media dijemput hadir untuk menyaksikan sendiri kemantapan vokal Aina yang tidak perlu lagi dipertikaikan.

Ternyata 10 persembahan yang disajikan pada malam itu benar-benar mantap, ditambah pula dengan vokal serta 'showmanship' Aina Abdul yang lincah saat berada di pentas.

Berkongsi perasaannya sesudah konsert berakhir, Aina tidak sabar menantikan penganjuran konsert keduanya, A Night With Aina Abdul 2.0.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan konsert kali ini dan tak sabar menantikan kehadiran konsert 2.0 (kedua) kalau ada peluang untuk diadakan lagi.

"Insya-Allah, A Night With Aina Abdul 2.0 diadakan pada Mac tahun depan dalam skala yang lebih besar.

"Untuk konsert solo pertama ini, saya anggap ia sebagai latihan untuk melakukan lebih lagi di dalam konsert akan datang. Malam ini (kelmarin), saya maksimakan apa yang saya belajar daripada konsert artis lain," katanya.

Lebih membuatkan penyanyi lagu Sumpah itu teruja apabila acara persembahannya turut dihadiri beberapa artis senior.

"Saya sendiri terkejut apabila melihat ramai rakan artis serta artis senior yang hadir memberikan sokongan. Pada malam pertama, beberapa sahabat saya hadir antaranya Hael Husaini dan Khai Bahar.

"Malam terakhir, saya dapat lihat kehadiran mentor saya, Kak Ella, Ziana Zain, Rozita Che Wan dan Michael Ang," katanya.

Meletakkan Ella sebagai legenda hidup atau 'living legend', Aina mengakui kehadiran Ratu Rock itu dapat dirasakannya tatkala membuat persembahan.

"Saya tahu di mana tahap Kak Ella dalam industri. Walaupun dia adalah mentor saya, saya sentiasa melihatnya sebagai 'living legend'.

PERSEMBAHAN yang disajikan Aina pada konsert A Night With Aina Abdul benar-benar mantap.
PERSEMBAHAN yang disajikan Aina pada konsert A Night With Aina Abdul benar-benar mantap.

"Kehadirannya pada malam ini dapat saya rasakan sehingga ke pentas. Saya cuba berikan persembahan terbaik untuk ditonton oleh Kak Ella dan semua penonton," katanya.

Melangkah masuk mempersembahkan lagu Shadow dan I Surrender, Aina kemudian mempersembahkan lagu yang pernah menjadi titik tolak namanya dikenali iaitu Reminiscing.

Pentas seterusnya dihangatkan dengan persembahan penuh emosi menerusi lagu Semalam, seterusnya lagu yang berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 iaitu Sepi.

Aina kemudian menyampaikan lagu Maybe sebelum mengajak penonton menari bersamanya menerusi lagu Ain't Nobody nyanyian asal Chaka Khan.

Seterusnya, Aina membuai penonton menerusi seleksi lagu saduran yang pernah dinyanyikannya di YouTube antaranya Here's Your Perfect, Reckless, Easy On Me, This Love dan You Are My Everything.

Memperkenalkan single terbaharu berjudul Fool, ia umpama luahan rasa Aina dan tidak berhenti di situ, dia sekali lagi bermain dengan emosi penonton apabila mempersembahkan lagu berjudul Mimpi Kita yang didedikasikan kepada arwah bapanya.

Menutup pentas konsert pada malam itu, Aina tampil mempersembahkan lagu berhantunya, Sumpah dengan rendisi yang berbeza daripada kebiasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 6:30 AM