BARISAN artis yang menyerikan majlis pelancaran ABPBH 35 di Kuala Lumpur, 12 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
BARISAN artis yang menyerikan majlis pelancaran ABPBH 35 di Kuala Lumpur, 12 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Pusingan pertama undian Top 20, Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35) yang dilancarkan 12 Mei hingga 11 Jun lalu mencatat rekod baharu dalam sejarah penganjurannya apabila lebih 21 juta undi diterima sepanjang tempoh 31 hari proses pemilihan dibuka.

Secara keseluruhan, sebanyak 21,033,657 undian diterima daripada peminat membabitkan 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan, Extra! yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, undian lebih 21 juta yang diterima membuktikan acara anugerah ini masih relevan dan mendapat tempat di hati peminat industri hiburan tempatan.

"Kami berbesar hati dan berbangga dengan jumlah undian tertinggi dikumpul pada fasa awal ABPBH 35 yang memberi petunjuk bahawa acara anugerah ini masih relevan.

"Sokongan diberi peminat menunjukkan ABPBH masih menjadi pengukur dalam menilai populariti artis dan selebriti tempatan, apatah lagi, kali terakhir acara ini dilakukan sekitar dua tahun lalu.

"Walaupun ABPBH tidak dianjurkan tahun lalu, kami percaya acara anugerah ini masih meraih kepercayaan peminat dan penaja dalam merancakkan lagi pembangunan sektor kreatif tempatan," katanya.

Proses pemilihan calon Top 5 bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus daripada undian pemilihan peminat manakala 30 peratus lagi adalah penilaian juri profesional.

Kemuncak proses itu, pastinya, gelaran Bintang Paling Popular menanti juara yang meraih undian dan markah tertinggi dalam kategori tunggal disaingi pada ABPBH 35.

Katanya, penganjur sentiasa melakukan penambahbaikan bagi mengekalkan kredibiliti ABPBH dan edisi kali ini membabitkab penilaian barisan juri profesional.

"Mereka akan menilai berdasarkan beberapa kriteria penting seperti populariti artis, impak yang dicetuskan oleh artis dan produk yang dihasilkan," katanya.

Sementara itu, penaja utama ABPBH 35 adalah Fellera Skin iaitu pengeluar produk kesihatan wanita terkemuka, Jeli Ajaib Bellrossa Advances.

Menurut Shamshul, penganjur teruja mengumumkan senarai Top 5 yang dipilih peminat mewakili artis popular yang masing-masing memiliki kelebihan dan kekuatan tersendiri untuk dipilih sebagai finalis ABPBH 35.

"Penganjur berpuas hati dengan pilihan dibuat peminat dan berharap pusingan kedua undian Top 5 ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan kemenangan artis pilihan," katanya.

Pada malam kemuncak ABPBH 35, sebanyak 12 kategori utama dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular, BBNU Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Turut dipertandingkan, Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara Televisyen (TV) Popular dan Artis Komedi Popular.

Undian tertinggi daripada mana-mana kategori tunggal disaingi artis pada peringkat Top 5 akan menjadi penentu kepada pemenang trofi utama, iaitu Bintang Paling Popular ABPBH 35.

Turut dipertandingkan pada ABPBH 35 adalah tujuh kategori Ekstra! iaitu Couple TV Popular, Couple Filem Popular, Drama Popular, Lagu Paling Boom Popular, Content Creator Popular, TikTokers Popular dan Lawak Viral Popular.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 2:00 PM