Saidon Idris.
Saidon Idris.
Shamshul Azree Samshir


Kuala Lumpur: Sekali lagi menerapkan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ketat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) kembali untuk edisi ke-34 dengan mengangkat tema #KITABERSAMA.

Kesinambungan tema ABPBH 33 iaitu #ABPBHKITA2020, acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini mengajak rakyat menyemarak semangat muhibah, perpaduan dan kekitaan dalam memerangi penularan COVID-19 serta membantu kerajaan mewujudkan imuniti berkelompok.

Undian pusingan awal ABPBH 34 yang dibawakan penaja utama, Xiaomi menyaksikan artis bersaing dalam 14 kategori utama dan enam kategori online melalui www.abpbh.com.my, dilancarkan hari ini.

Pengarang Kumpulan BH yang juga Penaung ABPBH 34, Saidon Idris berkata, BH sebagai akhbar 'Wadah Pembaharuan' kembali merancakkan dunia hiburan tempatan dengan acara anugerah yang dinantikan peminat, ABPBH.

"Selaras dengan situasi semasa dan arahan kerajaan berikutan penularan pandemik COVID-19, BH menjadi wadah kepada segala usaha yang menyokong untuk mengekang penularan wabak ini dan memulihkan ekonomi negara.

"Sejak pandemik melanda negara dan dunia, tahun lalu, kami di BH sentiasa peka dan akur dengan SOP terkini kerajaan.

"BH juga mematuhi arahan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain mengiktiraf bakat dan populariti artis, ABPBH 34 mahu memberi penghargaan kepada petugas belakang tabir industri hiburan termasuk kru produksi, kumpulan teknikal, pengurusan dan sokongan yang menjadi tulang belakang kejayaan sektor kreatif.

Penghargaan juga diberi kepada kumpulan penggerak penting dalam proses penerbitan kandungan untuk penonton di rumah pada era pandemik COVID-19.

Saidon berkata, penganjur ABPBH 34 sentiasa merujuk dan meminta kebenaran daripada MKN dan KKM sebelum mengelolakan edisi terbaharu acara anugerah ini.

"Banyak yang sudah dilalui sejak lebih setahun lalu dan ramai yang terkesan dengan penularan COVID-19.

"Justeru, ABPBH 34 kali ini memilih tema #KITABERSAMA kerana pandemik ini mengajar kita untuk kembali kepada akar atau asas di mana perlunya kita merapatkan hubungan dan bersatu dalam menempuhi cabaran," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar, Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan, The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, perancangan penganjuran ABPBH 34 dilakukan teliti dengan penyesuaian dan penambahbaikan selaras SOP terkini.

"Kami mahu ABPBH terus relevan sebagai pengukur populariti dan penghargaan kepada karya yang dihasilkan penggiat seni.

"Penganjuran ABPBH 34 pasti mematuhi SOP ditetapkan dan pada masa sama, memberi impak serta meninggalkan memori manis kepada semua artis serta pihak lain yang terbabit," katanya.

Ahmad Zaini berkata, penyesuaian membabitkan promosi dan publisiti ABPBH 34 termasuk pakej tajaan, kandungan, mekanik penganjuran, pencalonan, pengundian dan aktiviti bersama artis serta kelab peminat dikendalikan dengan mengoptimumkan penggunaan platform digital termasuk media sosial.

Beliau berkata, program eksklusif bersama penaja utama, Xiaomi dan artis jemputan akan disiarkan secara virtual, tidak lama lagi.

Malam kemuncak ABPBH 34 akan disiarkan secara langsung di TV3 dan Tonton termasuk YouTube TV3 dan BH serta laman web ABPBH di www.abpbh.com.my pada 13 November depan.

Malam kemuncak ini akan dikendalikan secara virtual dengan pematuhan ketat SOP ditetapkan MKN dan KKM.

Sebarang pengumuman membabitkan promosi, tajaan dan malam kemuncak akan dikongsi dari masa ke semasa.

Undian pusingan pertama bermula 10 September hingga 3 Oktober di www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan secara percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama telefon pintar nombor satu dunia, Xiaomi.

Antara kategori utama dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular Xiaomi dan Pelakon TV Wanita Popular Xiaomi.

Undian untuk kategori dalam talian, Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular hanya akan dibuka, bulan depan.

Pada edisi ke-33, penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli diangkat Bintang Paling Popular serta merangkul trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular bagi single Lembah Kesepian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 8:59 PM