HASAN (tiga kanan) bersama Rosmarayu (dua kanan), Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar (dua kiri) dan Ahmad Ibrahim@Mat London. FOTO Hazreen Mohamad
HASAN (tiga kanan) bersama Rosmarayu (dua kanan), Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar (dua kiri) dan Ahmad Ibrahim@Mat London. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Beberapa drama terbaik Anugerah Telenovela 2022 bakal dibawa bertanding ke Anugerah Telenovela Antarabangsa bermula tahun depan.

Pengerusi Anugerah Telenovela, Dr Hasan Hamzah berkata, inisiatif itu seiring misi acara berkenaan untuk mengangkat industri kreatif tempatan ke peringkat yang lebih hebat.

"Sebanyak 106 karya dipertandingkan dalam Anugerah Telenovela tahun ini. Karya itu dikumpul sejak 2020 hingga tahun ini bagi layak dicalonkan dan dinilai panel juri.

"Kategori asas seperti sebelumnya termasuk kategori utama telenovela, skrip, pelakon dan stesen terbaik atau popular masih ada. Terdapat juga kategori sampingan untuk pelakon kanak-kanak dan pasangan hebat.

"Panel juri profesional akan mengadili untuk kategori terbaik manakala kelab peminat mengundi kategori popular. Pemenang Top 3 misalnya akan dibawa pula bertanding di anugerah antarabangsa," katanya.

Belum ditetapkan tarikh acara, penganjurannya bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Undian bakal dibuka menerusi www.anugerahtelenovela.com selepas Aidilfitri nanti.

Sebanyak 106 calon telenovela itu akan berentap untuk merebut trofi lebih 30 kategori tahun ini.

Semua karya adalah adaptasi novel ke drama bagi tahun 2020 hingga tahun ini.

Berhubung penganjurannya, Hasan berkata, perbelanjaan sekurang-kurangnya RM3.5 juta diperlukan untuk program secara langsung di TV.

Tahun ini, acara itu turut mendapat penajaan jenama kosmetik Yuela Gold.

Memasuki edisi kelapan, Anugerah Telenovela asalnya cuma pecahan kategori dalam Anugerah Buku Negara yang diperkenalkan pada 2005. Bermula 2015, anugerah terbabit kemudian dilangsungkan berasingan.

Majlis pelancaran undian dalam talian anugerah itu dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Hadir sama, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London; penganjur Datuk Rosmarayu Mokhtar dan penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 12:57 PM