BARISAN penyampai dan selebriti yang bakal terbabit dalam Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL. - FOTO Genes Gulitah
BARISAN penyampai dan selebriti yang bakal terbabit dalam Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL. - FOTO Genes Gulitah
Najiy Jefri


SELEPAS dua tahun tidak turun padang bertemu pendengar setia, stesen radio popular Suria FM kembali memulakan penganjuran siri jelajah buat kali ketiga.

Apa yang menarik, siri jelajah kali ini mendapat sentuhan berbeza dengan kemunculan pentas Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL bagi mengembalikan nostalgia lagu-lagu era 1990-an.

Pengurus Besar Suria, Roslinda Abdul Majid atau mesra disapa DJ Lin berkata, siri jelajah terbabit diadakan di empat lokasi berbeza.

"Lokasi pertama sudah pun dimulakan di Kuantan City Mall, Kuantan, Pahang dan Aman Central Alor Setar, Kedah. Ia akan diteruskan ke Paradigm Mall, Johor Bahru pada 20 Ogos ini dan terakhir di IOI Mall Putrajaya (27 Ogos).

"Tema siri jelajah ini sejajar dengan konsep radio Suria FM yang sentiasa memainkan lagu-lagu hit 1990-an selain bertujuan mengembalikan nostalgia karya yang pernah menjadi fenomena.

"Banyak tarikan menarik menanti pengunjung antaranya sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah istimewa seperti empat motosikal, empat basikal lipat, barangan elektrik dan pakej percutian yang secara keseluruhannya bernilai RM100,000," katanya.

Menurut DJ Lin, siri jelajah kali ini juga menyaksikan pembabitan ramai selebriti yang terdiri daripada penyanyi lama dan baharu bagi menarik lebih ramai peminat untuk memeriahkan siri jelajah di setiap lokasi.

"Kami mengharapkan siri jelajah kali ini akan mendapat sambutan hangat daripada semua pihak dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara.

DJ Lin teruja dengan pembabitan selebriti baharu dan lama dalam menjayakan jelajah terbesar itu. - FOTO Genes Gulitah
DJ Lin teruja dengan pembabitan selebriti baharu dan lama dalam menjayakan jelajah terbesar itu. - FOTO Genes Gulitah

"Siri jelajah ini juga antara yang terbesar pernah diadakan Suria FM. Kami bersyukur dengan pembabitan penaja kami dapat membawa lebih ramai artis baharu dan lama untuk menghiburkan pendengar setia Suria FM.

"Kami percaya pendengar kami amat merindui siri jelajah ini kerana sudah lama tidak berkesempatan untuk bertemu dengan mereka.

"Kami juga tidak menyangka sambutan di Kuantan minggu lalu begitu luar biasa dan kami mendapat maklum balas yang begitu positif daripada warga Pahang," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi, Fieya Julia sudah tidak sabar untuk bertemu dengan peminat selepas hampir dua tahun tidak dapat membuat persembahan secara langsung.

"Lebih dua tahun saya dan rakan-rakan artis lain tidak dapat buat persembahan luar disebabkan pandemik. Jadi, inilah masa yang dinanti-nantikan," katanya yang bukan kali pertama menyertai siri jelajah itu.

Antara barisan artis yang akan memeriahkan siri jelajah Suria FM termasuklah Ziana Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Zamani Slam, Amir UK's, Alim Kris, Liza Hanim, Amelina, Muss (May), Safura, Hatta Junction dan Kumpulan Boboy.

Turut serta Poey Stings, Renggo (Arrow), Rahmad Mega, Man Bai, Wan (Lestary), Siti Nordiana, Haqiem Rusli, Amir Masdi, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Ara Johari, Afieq Shazwan, Dolla, Tajul, Wany Hasrita, Yonnyboii, Insomniacks, Floor 88, Nabila Razali dan Iman Troye.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:48 AM