DJ Lin (duduk di depan) bersama penyampai Suria FM.
DJ Lin (duduk di depan) bersama penyampai Suria FM.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Stesen radio Suria FM membawa penyampai segmen Morning Morning Suria iaitu Shuib, Ajak dan Suraya menerusi program Jelajah Morning Morning Suria Belanja Makan. 

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, program itu adalah kesinambungan daripada siri Jelajah 90 Suria yang diadakan sepanjang Ogos lalu. 

"Pada program kali ini lokasi dipilih adalah yang tidak dikunjungi sebelum ini. Aktiviti ini bertujuan untuk mendekatkan pendengar dan juga barisan penyampai Suria FM khususnya Shuib yang baru sahaja menjadi ahli keluarga baru kami. 

"Sepanjang siri Morning Morning Suria Belanja Makan diadakan, pendengar turut berpeluang membeli barangan eksklusif Suria yang dijual dengan harga promosi serta memenangi sebahagian daripada RM5,000 sewaktu acara berlangsung," katanya. 

Lokasi pertama untuk program itu adalah di Ayang Café dan makan tengahari di Make@Tunjung, Kota Bharu, Kelantan pada 24 September ini.

Selepas itu, makan malam bersama pendengar di D'Perahu Seafood, Kuala Terengganu. 

Pendengar juga boleh bersarapan bersama Ajak, Suraya dan Shuib di Nasi Dagang Atas Tol 1 dan tengahari di Aurora Coffee House, Dungun, Terengganu pada 25 September. 

Jelajah diteruskan di Roti Canai Kayu Arang dan seterusnya makan tengahari di Asam Pedas Pak Man dan makan malam di The Wau, Melaka pada 1 Oktober. 

Selain itu, pendengar Suria FM juga berpeluang memenangi sebahagian daripada wang tunai RM70,000 hingga 28 Oktober ini menerusi peraduan Morning Morning Suria Nak Bagi Duit. 

Dengan tagline 'Dengar, Ingat Dan Ulang', pendengar perlu mendengar lima lagu terpilih yang dimainkan sepanjang hari bermula jam 6 pagi hingga 1 pagi menerusi segmen Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:49 PM