Izhar Ariff.
Izhar Ariff.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Persoalan mengenai penampakan 'baby bump' tidak menjadi aurat atau satu kesalahan jika wanita yang sedang hamil sudah berusaha menutup auratnya dengan betul.

Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, seseorang yang dikira membuka aurat adalah golongan yang sengaja menampakkan susuk tubuh, kulit dan mendedahkan bahagian tubuh.

" 'Baby bump' yang membesar itu tidak menjadi aurat jika ia ditutup dengan pakaian yang menutup aurat sebagai mana yang Islam arahkan. Pakaian yang dimaksudkan tutup aurat itu adalah pakaian yang kainnya tidak jarang, tidak seksi dan longgar.

"Seseorang yang di kira membuka aurat adalah golongan wanita yang sengaja menampakkan susuk tubuh, kulit, bahagian tubuh selain wajah dan pergelangan tangan. Manakala bagi lelaki menampakkan bahagian tubuh dari pusat hingga lutut.

"Jika wanita atau lelaki itu telah menutup auratnya dengan baik namun masih kelihatan tanpa disedari atau itulah yang paling maksimum dia boleh lakukan untuk menutupi auratnya maka dia tidak berdosa.

"Fitrah wanita mengandung perut akan membesar. Maka dia tidak berdosa jika telah berusaha menutupnya dengan betul. Oleh itu, tanggungjawab lelaki lah pula menjaga pandangan,"katanya kepada Harian Metro.

Menurut Izhar, dia juga berpesan kepada wanita hamil supaya berusaha menjaga aurat khususnya bahagian perut yang membesar.

"Jangan sengaja tayang perut kerana dikhuatiri termasuk dalam golongan orang yang tayang aurat. Tapi jika dia dah berusaha yang terbaik menutup aurat perutnya itu, maka dia tidak berdosa,"katanya.

Terdahulu Uyaina tampil menjawab komen seorang pengguna akaun yang mengatakan 'baby bump' yang kelihatan pada video yang dimuat naik di Instagram adalah aurat dan tidak boleh didedahkan selain memohon Tuhan mengampunkan dosanya.

"Dalam Islam... 'baby bump' itu aurat. Tidak boleh didedah. Moga Allah ampunkan dosa beliau dan kita semua. Amin,"tulis seorang pengguna media sosial.

Tampil mempertahankan dirinya, Uyaina berkata, dia tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya tidak mampu menutup kehamilannya yang kini memasuki lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 6:20 PM