MENUTUP aurat, berpakaian sopan, jaga batas hubungan serta tanggungjawab sebagai isteri jadi panduan khusus wanita. berkerjaya
MENUTUP aurat, berpakaian sopan, jaga batas hubungan serta tanggungjawab sebagai isteri jadi panduan khusus wanita. berkerjaya
Muhammad Saufi Hassan


WANITA tidak pernah ketinggalan dalam pendidikan, kerjaya sehingga menjadi pemimpin.

Biarpun kelazimannya pemimpin adalah daripada kalangan lelaki, namun era moden kini turut memperlihatkan pemimpin dalam kalangan wanita.

Ada ramai wanita kini memegang jawatan ketua sesebuah jabatan sehingga kepada menjawat kerusi menteri bagi mentadbir negara, itu tidak lagi menghairankan.

Bagaimanapun, sebagai umat Islam, wanita perlu menjaga garis batas yang ditetapkan syariat, sekali gus ia mampu meninggikan martabat wanita.

Menurut pandangan almarhum Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, 'Fiqh al-Dawlah' menjelaskan wanita yang beriltizam dengan agama jika dilantik mentadbir, maka hendaklah menjaga dirinya ketika bertemu lelaki dari melanggar hukum Islam seperti melunakkan suara, tidak memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan tidak bercampur gaul tanpa batasan.

Berdasarkan penjelasan di atas menunjukkan bahawa Islam tidak menghalang sama sekali bagi wanita menjadi pemimpin atau ketua dalam kalangan masyarakat atau sesebuah organisasi.

Islam memberi keadilan kepada lelaki dan wanita untuk menuntut dan meluaskan ilmu pengetahuan. Begitu juga, tiada halangan atau kekangan kepada wanita untuk memegang sesuatu jawatan yang besar dan tinggi.

Ada beberapa garis panduan khusus kepada wanita yang menjadi pemimpin bahawa berkewajiban memelihara nilai dan tatasusila yang sewajarnya sebagai wanita.

Pertama, menutup dan memelihara aurat. Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuh kecuali wajah dan dua telapak tangan.

Leher dan rambut juga adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai.

Pendek kata, aurat wanita adalah daripada hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan yang wajib ditutup dan dipelihara dari pandangan lelaki ajnabi.

WANITA Muslim perlu menjaga adab serta batas dalam pergaulan khususnya di tempat kerja.
WANITA Muslim perlu menjaga adab serta batas dalam pergaulan khususnya di tempat kerja.

Kedua, memakai pakaian yang sopan dan beretika. Pakaian yang dipakai mesti tebal dan tidak nipis serta longgar dan tidak ketat.

Pakaian yang ketat dan menampakkan sosok tubuh wanita adalah tidak memenuhi maksud menutup aurat kerana boleh membangkitkan syahwat dan mendatangkan fitnah serta kerosakan. Pakaian yang ketat tetap dilarang walaupun tebal dan tidak nipis.

Ketiga, menjaga batasan hubungan antara lelaki dan wanita. Hubungan pergaulan yang tidak terkawal antara lelaki dan wanita berupaya menimbulkan fitnah yang mengundang kepada gejala negatif dan maksiat.

Lazimnya, individu yang berada di masjid adalah golongan yang mempunyai iman dan hati yang baik. Namun, Nabi Muhammad SAW tetap bertegas mengasingkan kerana dibimbangi berlaku fitnah.

Keempat, tidak meninggalkan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dalam rumah tangga. Tanggungjawab isteri sangat penting dan besar dalam sesebuah rumah tangga.

Islam tidak menghalang wanita untuk menjadi pemimpin, malah memberi peluang membabitkan diri selari dengan nilai ilmu yang diperoleh oleh wanita.

Penghormatan ini mampu menunjukkan bahawa Islam tidak meminggirkan wanita dalam urusan yang membabitkan pentadbiran dan pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 6:15 AM