FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
HM Digital

MEMAKAI tudung dan hijab menjadi kewajipan buat semua wanita Islam kerana rambut adalah sebahagian daripada aurat.

Wujud juga fesyen terkini berkaitan hijab dan keadaan itu mengundang dua situasi berbeza iaitu perkara baiknya menunjukkan ramai wanita Islam kini mengutamakan tudung atau hijab, namun di sisi berbeza hijab itu sebahagian daripada fesyen dan tidak merangkumi aspek penutupan aurat sebenar.

Begitu juga dengan pemakaian baju, wujud segelintir wanita hari ini memperagakan hijab dan pakaian yang menutup aurat pada mata kasar, sebaliknya mereka mempunyai dua sifat iaitu berpakaian dan telanjang dalam satu-satu masa.

Menurut hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Dua golongan penghuni neraka yang aku tidak pernah melihat kedua-duanya iaitu kaum yang membawa cemeti seperti seekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia dan perempuan yang berpakaian, tetapi telanjang berjalan berlenggang-lenggok dan menggoda, kepala mereka seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Rasulullah menyebut dalam matan hadis berkenaan sebagai 'kasiyatun 'ariyat' (berpakaian, tetapi telanjang) pada perempuan yang berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh atau menampakkan warna kulit sekalipun tertutup dengan lapisan kain, tetapi apa yang ada di sebalik lapisan kain itu masih boleh dilihat.

Menerusi satu ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menjelaskan hadis ini perempuan yang berpakaian, tetapi telanjang dan mereka memakai baju namun menampakkan bentuk tubuh mereka sehingga diperhatikan orang lain.

Beliau menjelaskan ulama menjelaskan bahawa golongan ini tidak akan mencium bau syurga walaupun bau harum syurga dapat dihidu ratusan tahun dan begitu dahsyatnya golongan ini yang sudah diberi peringatan oleh Nabi Muhammad SAW.

Pada hari ini, pastinya setiap daripada kita pernah melihat keadaan wanita yang mempunyai dua sifat ini iaitu mereka berpakaian dan dalam masa sama turut dinisbahkan sebagai telanjang kerana memakai pakaian ketat menampakkan setiap inci bentuk tubuh badan.

Realiti pada hari ini wujud segelintir golongan wanita yang tidak mengendahkan peringatan Nabi sebaliknya bangga dengan perbuatan mereka termasuk ada yang memperagakan diri untuk menjual atau mempromosikan sesuatu produk.

Khamis: Bermaharajalela perbuatan zina

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 9:38 AM