Aniq Suhair
Aniq Suhair
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon yang sedang meningkat naik, Aniq Suhair berkongsi berada dalam fasa ke arah memperbaiki diri menjadi individu yang lebih baik pada masa akan datang.

Bekas peserta Hero Remaja 2021 itu berkata dia terdetik untuk memperbaiki diri selepas menjalani penggambaran drama terbaharu berjudul Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah.

"Saya dalam fasa perbaiki diri mana yang dosa-dosa kecil tu saya nak elakkan. Sedar tak sedar sebenarnya kita hampir di penghujung dah sebenarnya.

"Mana yang boleh perbaiki kita perbaiki. Mana yang teruk kita tinggalkan, mana yang baik kita teruskan. Sebenarnya saya sedang menjalani penggambaran untuk drama terbaru di slot Akasia TV3, cerita tentang keagamaan di antara manusia dan Tuhan.

"Proses penggambaran itu secara tidak langsung membuka mata saya untuk terus berubah ke arah yang lebih baik," kata Aniq.

Sejajar dengan perubahan untuk memperbaiki diri ke arah kebaikan, Aniq turut meminta jasa baik semua pihak untuk padam foto dan video yang memperlihatkan dirinya berseluar pendek atau tidak menutup aurat.

Aniq berharap permintaannya itu dapat dipenuhi dan berdoa agar Allah melindungi dirinya serta menutup aibnya.

"Saya minta kerjasama kepada sesiapa yang 'upload' gambar atau video saya berseluar pendek, mohon memadamkannya.

"Oleh itu, saya mohon jasa baik kalian semua. Mudah-mudahan Allah melindungi aurat dan aib kita juga," katanya.

Mengulas mengenai permintaannya itu, Aniq menyedari selagi auratnya dipertontonkan kepada umum, selagi itu dirinya mendapat dosa.

"Sebab memakai seluar pendek itu tidak menutup aurat. Saya sedar yang selagi orang tengok aurat saya selagi tu dosa berjalan, apatah lagi ketika ini zaman digital.

"Jadi saya tidak mahu terus menanggung dosa saya berterusan dan memohon agar gambar saya berseluar pendek di media sosial dipadamkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 4:29 PM