Sultan Abdullah (tengah) beramah mesra bersama tetamu di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang
Sultan Abdullah (tengah) beramah mesra bersama tetamu di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

GUGUP tetapi teruja. Itu perasaan W Sangeetha apabila disapa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Abdulaziz di Kuantan hari ini.

Sangeetha, 32, juga menyifatkan perkara itu sebagai kenangan terindah buat dirinya kerana berasa ‘terpilih daripada ribuan tetamu’ yang secara peribadi dapat bersemuka dengan Sultan Abdullah, memandangkan itu kunjungan kali pertamanya ke istana.

“Saya sedang mencari tempat duduk, apabila melihat orang ramai menuju ke arah tempat saya berdiri.

“Rupanya tuanku berada dalam kelompok mereka dan tiba-tiba saja baginda menegur dan bertanya saya datang dari mana?

“Saya terkejut menyebabkan saya agak gugup untuk menjawab. Baginda juga bertanya mengenai anak dan suami saya yang berdiri bersebelahan.

“Selalu saya hanya mendengar cerita mengenai keramahan tuanku, tapi hari ini saya mengalaminya sendiri,” katanya.

Anak jati Taiping, Perak namun bekerja di sini itu berkata, mereka sekeluarga mengambil peluang memeriahkan majlis sambutan itu memandangkan suaminya yang juga anggota tentera mendapat cuti hari ini.

Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri hampir 7,000 rakyat berbilang kaum serta warga asing.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri Datin Seri Burhah Mohammed, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta wakil rakyat Pahang.

Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli menyantuni rakyat yang berkunjung ke majlis itu, yang semuanya kelihatan teruja untuk bersalaman dan merakamkan gambar sebagai kenangan bersama baginda.

Pesara guru besar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Tengku Adnan Tengku Mahmood, 86, yang berkerusi roda berkata, kunjungannya ke majlis itu adalah untuk bertemu Sultan Abdullah selepas sekian lama tidak bertemu dan bersyukur hasrat itu dipermudahkan.

Tengku Adnan berkata, dia sudah lama mengenali Sultan Abdullah sejak sekian lama kerana Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pernah membawa baginda menghadiri majlis yang dihadirinya.

“Saya kenal baginda (Sultan Abdullah) sejak Tengku Mahkota Pahang lagi.

“Perangainya memang begitu, mudah menegur rakyat seperti mana Almarhum ayahanda baginda. Saya menjunjung kasih pada tuanku kerana sudi menegur saya,” katanya.

Sementara itu, cucu Tengku Adnan, Mohammad Faris Aqil Mohd Azmi, 15, berkata, mereka antara yang terawal tiba pada majlis itu kerana datuknya begitu berhajat untuk datang menyebabkan bapanya mengalah dan menghantar mereka sehingga ke pintu masuk istana.

Bagi Wong Wue, 72, dan isteri Tan Ah Moi, 71, dari Seri Kuantan, mereka mengambil kesempatan menghadiri majlis itu selepas membaca mengenainya di surat khabar.

“Dulu tahu juga ada majlis begini, tapi kami tak pernah pergi kerana dibuat di istana di Pekan atau bila diadakan di sini, kami pula yang mempunyai alasan lain yang menghalang untuk datang.

“Bila diadakan tahun ini, kami seronok mahu datang. Bukan selalu rakyat biasa boleh masuk istana. Saya juga tidak sabar mahu merasai juadah yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, David Whittingtom, 60, dari London yang dalam program lawatan ke wilayah pantai timur berkata, dia bernasib baik berada di Kuantan minggu ini dan membolehkannya menjadi antara tetamu istana.

Katanya, dia mengambil peluang memasuki istana kerana bukan selalu dibuka kepada orang ramai dan mendapati suasananya begitu ceria.

“Saya mencuba sate dan rasanya sangat mengagumkan. Tidak sabar pula untuk mencuba makanan lain kerana orang tempatan memberitahu ada antara makanan yang dihidangkan hanya untuk majlis istimewa saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 7:22 PM