Awir mendapat surat pengesahan bulan lalu. FOTO LAN KRISTAL
Awir mendapat surat pengesahan bulan lalu. FOTO LAN KRISTAL
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon popular Awie dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, hari ini.

Ia bersempena sambutan ulang tahun ke-86 keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang diadakan di Istana Pahang, Jalan Conlay, di sini.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, dia mendapat surat pengesahan pada bulan lalu.

"Alhamdulillah, saya menganggap ini satu rezeki. Sebelum ini saya sudah beberapa kali mendengar ura-ura menyatakan perkara itu, tapi selagi belum ada kepastian saya tak berani nak bercakap.

"Apabila mendapat surat itu, saya menerima dengan berlapang dada. Bagi saya ini satu penghargaan kepada insan seni seperti saya yang sudah 31 tahun berada dalam industri," katanya kepada Harian Metro.

Awie yang juga penyanyi kumpulan Wings berkata, pengurniaan darjah kebesaran itu menambahkan lagi semangat untuknya terus berjuang dalam bidang seni.

Awie turut berharap semoga dia diberi kekuatan dan kesihatan untuk terus mewarnai dunia hiburan tempatan.

"Saya berharap peminat akan terus mendoakan kesejahteraan saya untuk terus berjuang sebagai anak seni.

"Lagipun tanpa sokongan peminat saya dan Wings tidak akan kekal sehingga sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:27 PM