BABAK yang mengundang emosi penonton yang dibawakan dengan cemerlang oleh Beto Kusyairy (kanan) dan Adi Putra.
BABAK yang mengundang emosi penonton yang dibawakan dengan cemerlang oleh Beto Kusyairy (kanan) dan Adi Putra.

Kuala Lumpur: Babak Mat Kilau menekup mulut Wahid lakonan Beto Kusyairy yang menahan emosi ketika isterinya, Rokiah (lakonan Zarina Zainoordin) dibunuh kejam tentera British dilakukan dengan imaginasi tinggi dua pelakon berkaliber itu dalam filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan.

Beto berkata, ketika melakonkan babak itu, dia bersama Datuk Adi Putra (Mat Kilau) perlu menggunakan imaginasi dan perasaan kerana babak Rokiah dibunuh itu tidak wujud di depan mereka.

"Apabila kita 'shoot' babak itu, kamera berada di depan saya dan Adi. Depan saya sebenarnya tak ada apa-apa yang jadi. Semuanya imaginasi," katanya dalam sesi temu bual bersama stesen radio Mediacorp Ria 897 menerusi segmen Paparazzi Pagi.

Menurut Beto, babak lakonan Zarina diseksa dan dibunuh sebenarnya dijalankan pada hari yang berbeza.

"Babak di mana Zarina yang melakonkan watak Rokiah ditarik dari atas rumah, ditolak, ditendang, dipijak perut, ditikam, semua itu berlaku pada hari lain," katanya.

Babak penuh emosi itu menerima pujian daripada peminat Beto memandangkan lakonannya turut memberikan emosi kesedihan kepada setiap penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 3:53 PM