BETO Kusyairy
BETO Kusyairy
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: "Lakonan Beto adalah sesuatu yang membanggakan dalam Mat Kilau. Siapa setuju? Malam ni (semalam) abg layan lagi dengan staff Petra Vision Works. Jom gang terus sokong filem ni!"

Itu status hantaran di Instagram pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki yang memuji lakonan Beto Kusyairy menerusi watak Wahid dalam filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan.

Malah, perkara sama turut dikongsikan kebanyakan penonton yang sudah menonton filem arahan Syamsul Yusof itu.

Beto, 42, ketika dihubungi berkata, dia bersyukur hasil karya dan kerja kerasnya diterima ramai.

"Tak ada kata lain selain syukur. Seperti projek sebelumnya saya akan memberikan sehabis baik bukan 100 peratus, tapi cuba melebihi 100 peratus. Cuba bagi lebih untuk karya, pengarah dan penerbit.

"Apabila bersetuju menerima sesuatu maka tanggungjawab kita pikul sehabis baik. Itu yang saya cuba buat untuk filem ini, saya memberikan sehabis baik untuk watak Wahid dan memberi keadilan untuk Wahid itu. 

"Saya cuma menjalankan tanggungjawab, sekadar 'instrument' untuk naskhah ini, menyampaikan apa nak disampaikan oleh karya. Apa saja yang jadi, apa saja saya buat untuk karya, atas kehendak karya untuk karya, bukan untuk diri sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Beto, kejayaan yang dilihat menerusi watak Wahid turut dibantu dan disokong oleh orang sekeliling seperti rakan pelakon lain.

"Saya percaya semua takkan terjadi tanpa bantuan orang sekeliling, tanpa sokongan dan tenaga rakan pemain saya seperti Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Johan, Ali Karimi sebab kami banyak berkongsi 'frame' dalam filem ini.

"Bukan saja 'direction' daripada nakhoda (pengarah) dan ilham saya sendiri, tapi dikelilingi mereka ini, tenaga daripada mereka, semua membantu dalam mencipta watak Wahid. Apa dilihat di skrin adalah hasil sokongan di sekeliling saya sewaktu di lokasi," katanya.

Berkongsi mengenai pencapaian filem terbitan Studio Kembara yang mencatat kutipan lebih RM12 juta semalam, Beto berharap akan ada lebih ramai pelabur dan penerbit yang berani menerbitkan karya genre sebegitu.

"Paling gembira untuk saya apabila orang ramai sudah mula berani kembali untuk ke panggung wayang selepas fasa pandemik dilalui. Harap ia terus menjadi momentum bukan saja kepada filem Mat Kilau, tapi untuk filem tempatan yang akan keluar masa akan datang.

Selain itu saya juga berharap selepas ini pelabur, penerbit, terinspirasi dan bersemangat membikin karya epik sebegini.

"Selama ini mereka tak berani buat genre begini sebab mungkin takut tak balik modal sebab filem sebegini membabitkan modal besar. Mungkin selepas melihat apa Mat Kilau capai mungkin mereka akan lebih berani melabur dan terbitkan karya yang lebih dari Mat Kilau ini pada masa akan datang. Kejayaan ini saya anggap bukan saja untuk filem Mat Kilau itu sendiri, kepada penerbit dan Syamsul selaku pengarah, tapi anggap kejayaan dalam membina momentum dan pencetus untuk pembikin lain pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 9:23 AM