Watak Jai (kiri) dan Mat Kilau lakonan Adi Putra cetus fenomena
Watak Jai (kiri) dan Mat Kilau lakonan Adi Putra cetus fenomena
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Dulu orang panggil Jai (watak filem KL Gangster), sekarang Mat Kilau."

Demikian kata pelakon terkenal Datuk Adi Putra mengenai maklum balas penonton terhadap dirinya yang melakonkan watak pahlawan Mat Kilau.

Adi berkata, fenomena bukan sahaja berlaku kepada filem arahan Syamsul Yusof itu, tapi juga dirinya.

"Sejujurnya, dengan sambutan yang diberikan terhadap filem ini hingga sekarang, saya tak tahu nak cakap apa. Diakui ke mana saja saya pergi orang panggil Mat Kilau. Betul, ini lah nama samaran saya sekarang. Bagi saya ini satu 'kegilaan'. Mat Kilau ini bukan setakat fenomena, tapi secara peribadi ia sekali jalan.

"Apa saya perasan juga, semua memberikan sokongan padu dan jitu, alhamdulillah. Saya nak mengucapkan setinggi penghargaan kepada penerbit kerana menerbitkan filem Mat Kilau, harus juga beri pujian kepada Syamsul selaku pengarah, pelakon lain seperti Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari dan lain-lain," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Adi tidak menjangka apabila peminat secara kreatif menyunting video dirinya daripada petikan lakonan sebelum ini dan memuatnaik di aplikasi TikTok.

Malah, video itu diletakkan muzik latar dan keterangan romantis yang menggambarkan mereka jatuh cinta dengan Adi Putra.

"Saya pun baru tahu perkara ini. Tak tahu sampai tahap itu. Sedangkan banyak juga drama dan filem yang saya terbabit, tapi atas keberkahan Mat Kilau, ia lain dari lain. Bukan fenomena saja, tapi terlebih femomena," katanya.

Selain Mat Kilau, Adi juga bakal muncul dalam filem Jerangkung Dalam Almari (4 Ogos) dan Air Force The Movie (25 Ogos) ini.

"Kalau nak kata tempias Mat Kilau terkena dua filem ini, tak tahu nak cakap sebab ia rezeki. Kita boleh mohon doa saja, nak mengharap tak boleh. Berharap kepada Yang Maha Esa saja.

"Kalau ada tempias kepada dua filem itu, itu yang diinginkan sebagai pelakon. Mudah-mudahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 2:29 PM