ANDY Teh.
ANDY Teh.
Ramlah Zainal


Shah Alam : Pelakon, Andy Teh, 37, mendedahkan dia adalah salah seorang pelakon filem prekuel Mat Kilau yang kini sedang menjalani penggambaran.

Bagaimanapun, Andy ketika ditemui tidak mahu berkongsi lebih lanjut mengenai filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu.

"Saya memang terbabit dalam penggambaran itu yang bakal ditayangkan tahun depan. Tapi saya mohon maaf tidak dapat berkongsi lanjut mengenai projek filem berkenaan, buat masa ini," katanya.

Ditanya mengenai filem itu, Andy berkata, dia melakonkan watak jahat iaitu Sachai.

"Saya juga tidak dapat mendedahkan siapa pengarah dan barisan pelakon lain yang terbabit dalam filem itu.

Apa yang saya boleh kongsikan, pengarah filem ini memang nama besar dalam dunia filem aksi. Penggambaran filem ini sudah siap sebanyak 80 peratus," katanya kepada Harian Metro.

Andy yang juga pelakon filem Wira dan Sangkar berkata, dia akan kembali menyambung penggambaran filem itu selepas Aidilfitri ini.

"Kalau boleh banyak yang saya mahu kongsikan mengenai filem ini termasuk gambar babak aksi di lokasi penggambaran tetapi tidak dibenarkan buat masa ini," katanya yang baru selesai penggambaran filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz.

Dalam laporan terdahulu, penerbit filem Mat Kilau, Abdul Rahman Md Dali mengejutkan peminat apabila mengesahkan projek filem prekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tidak membabitkan tiga tunjang utama iaitu pengarah, Syamsul Yusof serta dua pendukung watak iaitu Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy.

Menurut Abd Rahman, watak Mat Kilau lakonan Adi Putra dan Wahid lakona Beto dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tidak ada kena-mengena dengan jalan cerita projek prekuel naskhah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 3:29 PM